UMMAH mohon polis siasat Anwar isu darurat

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Gerakan pembela Ummah (UMMAH) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah menghantar surat kepada semua ahli parlimen bagi mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Pengisytiharan Darurat.

- Advertisement -

Setiausaha Agungnya, Khalil Idham Lim membuat laporan tersebut di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, disini, petang tadi.

Laporan tersebut menyatakan bahawa maklumat mengenai warkah itu telah disiarkan dalam laman Facebook bernama Anwar Ibrahim.

Walaupun kini telah dipadamkan dari laman Facebook itu, ia sudah tersebar secara meluas dalam media sosial dan dilaporkan oleh media-media utama negara, termasuk oleh portal-portal berita online, katanya.

Menurut Idham yang juga pengerusi UMMAH Perak, Perkara 150 (8) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hal puas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Oleh itu katanya, sekiranya Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ia tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, maka sudah semestinyalah ia juga tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di luar mahkamah.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini adalah satu hasutan kepada pihak-pihak lain supaya mencabar atau mempersoalkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana tindakan beliau jelas mendatangkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.

Tambah Idham lagi, kesalahan yang dibuat oleh Anwar kali ini adalah sangat serius memandangkan beliau mempunyai status sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, Pengerusi Pakatan Harapan, Presiden PKR, Ahli Parlimen Port Dickson dan mantan Timbalan Perdana Menteri sangat berpengaruh dan ramai pengikut.

Beliau berpandangan kesalahan yang dilakukan Anwar adalah sangat serius kerana ia boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Justeru itu, beliau meminta supaya pihak bertanggungjawab termasuk PDRM dapat membuat siasatan dengan segera, tegasnya lagi.

Idham dalam masa sama turut memaklumkan bahawa satu arahan rasmi telah dibuat kepada semua UMMAH negeri dan 500 jaringan NGO UMMAH untuk membuat laporan polis mulai esok. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -