Terengganu bantu rakyat terkesan akibat Covid-19

Dr Samsuri menyantuni penderma darah.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memberi jaminan akan membantu golongan rakyat yang sangat terkesan akibat penularan wabak Covid-19, mengikut keperluan semasa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepada golongan rakyat yang benar-benar terkesan akan dinilai dan diberikan bantuan yang bersesuaian.

- Advertisement -

“Kita akan ‘minitor’ dari masa ke semasa keperluan (bantuan) itu. Kita target yang paling terkesanlah.

“Kita akan cari jalan bagaimana untuk mengurangkan kesengsaraan dan bebanan itu,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Kempen Derma Darah Terengganu Volunter (T-Volt), di Dewan PPR Hiliran, di sini, hari ini.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing juga berperanan memantau keadaan tersebut.

“Pada peringkat ini, kita minta mereka berhubung dengan Ahli-ahli Yang Berhormat (ADUN) di kawasan masing-masing. Kita akan cari jalan, tengok kes by kes,

“Saya percaya Ahli-ahli Yang Berhormat yang ada di negeri Terengganu ini daripada semua parti politik, mereka sentiasa terbuka untuk menerima apa juga maklum balas daripada rakyat, (tentang) kesusahan yang dialami.

“Saya sentiasa lihat dalam facebook, Ahli-ahli Yang Berhormat ini mereka menyelesaikan masalah-masalah rakyat itu.

“Saya harap, rakyat maklum kepada wakil-wakil rakyat mereka di kawasan masing-masing dan kalau tidak boleh jumpa wakil rakyat, jumpa JPKK atau tidak, dengan ahli majlis. Insya Allah, kita akan cuba selesaikanlah secara beransur-ansur,” jelasnya yang juga ADUN Ru Rendamg.

Namun, kata Dr Samsuri, bantuan itu bukanlah diberikan kepada semua orang tetapi hanya mereka yang betul-betul terkesan sahaja.

Hadir sama pada program itu, Pakar Perubatan Transfusi Darah HSNZ Kuala Terengganu, Dr Mohd Muhaimin Kambali, ADUN Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Sauji Abd Rasid. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -