PKP: Kedah Tourism terus pergiat promosi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah Tourism terus mempergiatkan promosi pelancongan di negeri ini, khususnya di laman media sosial walaupun Kedah kini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jumaat lepas hingga 4 Februari ini.

Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abdul Razak berkata jumlah kehadiran pelancong ke Kedah semakin merosot susulan pandemik Covid-19, justeru usaha berterusan perlu dibuat bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini mampu bertahan.

- Advertisement -

“Melalui promosi berterusan ini, pelancong boleh merancang dan membuat senarai tempat yang mereka mahu kunjungi di negeri ini apabila PKP ditamatkan.

Mengikut data kami, jumlah pelancong domestik ke 12 daerah di negeri ini terutamanya di Baling dan Yan meningkat secara mendadak setiap kali rentas daerah dibenarkan kerana di sana banyak tempat menarik,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sejak wabak Covid-19 melanda dan negara mula menguatkuasakan PKP pada Mac tahun lepas, banyak penggiat industri pelancongan di negeri ini terpaksa ‘gulung tikar’ kerana tidak mampu meneruskan perniagaan mereka akibat kekangan kewangan.

“Perkara ini tidak dapat dielakkan, namun saya berharap agar semua penggiat industri pelancongan di Kedah dapat bertahan dan bangkit kembali selepas pandemik ini berakhir,” katanya.

Beliau berkata pihaknya, kerajaan negeri serta agensi lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membantu bagi menyemarakkan kembali aktiviti pelancongan di Kedah dan seluruh negara. – BERNAMA

- Advertisement -