PdPR: PAS gesa tubuh jawatankuasa khas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan PAS Pusat menggesa ditubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu yang berbangkit berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata gesaan itu senada dengan saranan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan.

- Advertisement -

Menurutnya, mutakhir ini ramai yang membincangkan mengenai PdPR iaitu satu kaedah pembelajaran yang menggunakan alat peranti komunikasi maya serta kemudahan capaian internet.

“Inilah antara corak pendidikan era pandemik Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, mahu tidak mahu semua pihak perlu menerima realiti yang ada serta sanggup berhadapan dengan perubahan teknik pengajaran dan pembelajaran norma baru.

Beliau berkata, Lajnah Pendidikan PAS menyambut baik keputusan KPM yang telah memperkenalkan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam talian sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu bagi mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah.

Namun begitu, ujarnya perkara yang menjadi kekangan kepada para ibu bapa dan sesetengah pihak sekolah adalah kekurangan alat peranti serta kemudahan fasiliti bagi pengoperasian teknik PdPR di sesetengah lokaliti setempat.

“Keadaan ini terjadi apabila para pelajar tidak dapat mengakses kandungan pelajaran tepat pada masa dan jadual ketika sesi pembelajaran itu berlangsung.

“Hal ini sedikit sebanyak membantut minat para pelajar untuk menekuni pelajaran serta melambatkan perjalanan silibus pengajian,” katanya lagi.

Tambahnya, kementerian lain juga seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu turut serta berganding bahu bagi mencari jalan penyelesaian yang tuntas supaya iatidak berlanjutan sehingga memberikan gambaran negatif ke atas sistem pendidikan negara.

Pihak lajnah juga, kata beliau merasakan bahawa mereka yang mahir dalam bidang pendidikan seperti guru-guru berpengalaman, pakar IT, NGO pendidik, pihak PIBG serta mereka yang berpengalaman dalam PdP dalam talian akan memberi kerjasama yang terbaik bagi melancarkan lagi program PdPR itu, bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -