Gelandangan disaring sebelum dihantar ke PSG

Foto daripada Facebook DBKL.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sentiasa komited dalam menangani isu gelandangan di ibu kota dari semasa ke semasa.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, antaranya adalah dengan mewujudkan pusat transit gelandangan di Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan di Jalan Medan Tuanku.

- Advertisement -

“Selaras dengan pelaksanaan PKP 2.0, DBKL sekali lagi turun padang untuk melaksanakan operasi menyelamat golongan gelandangan ini,” kata DBKL menerusi laman Facebooknya.

DBKL dengan kerjasama lain-lain agensi sahabat seperti PDRM, JKM, KKM, JIM, AADK telah turun ke lapangan pada lewat malam tadi untuk memastikan golongan gelandangan dapat diurus sewajarnya.

Platform yang digunakan untuk mengendalikan isu itu adalah melalui crisis management centre (CMC) yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut DBKL, program malam tadi adalah bertujuan untuk menyelamatkan golongan gelandangan dan menempatkan mereka di pusat sementara gelandangan (PSG).

Tambahnya, operasi yang turut disertai Datuk Bandar Kuala Lumpur itu telah melibatkan 95 anggota penguatkuasa pelbagai agensi sahabat dan seramai 140 orang gelandangan telah berjaya diselamatkan.

“Sebagai langkah keselamatan, mereka disaring dalam beberapa peringat terlebih dahulu mengikut tahap kesihatan sebelum dihantar ke PSG yang bersesuaian.

“Terdapat dua PSG yang menempatkan golongan ini iaitu di PSG Sentul Perdana dan PSG Setiawangsa,” ujarnya.

Mereka dijangka akan ditempatkan di PSG itu sehingga penghujung Februari 2021 manakala pada awal Mac 2021, mereka dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) di mana mereka akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan.

:Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran agar mudah bagi mereka untuk mendapat pekerjaan yang tetap bagi menyara hidup. Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” ujarnya lagi.

Dalam waktu yang sama, DBKL juga sedang mencari penyelesaian yang total dalam menangani isu gelandangan termasuk menyediakan perlindungan untuk mereka. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -