Frontliner hargai pengumuman PM

Foto Solahuddin al-Idrus
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan (Frontliner) menghargai inisiatif kerajaan menyediakan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI 2021).

Menerusi perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pakej bantuan PERMAI yang diberikan kepada barisan hadapan rata-rata memberi reaksi positif terhadap pengumuman berkenaan.

- Advertisement -

Pemberian sekali gus atau one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, manakala sebanyak RM300 kepada petugas barisan hadapan lain mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

Bayaran bulanan sejumlah RM600 untuk anggota kesihatan manakala RM200 untuk lain-lain petugas barisan hadapan akan diteruskan sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Menurut pegawai polis, Mohd Asri Saidin, merasa amat dihargai dengan kerja keras pada masa ini.

“Rasa dihargai sebab sekarang perlu berkerja lebih masa dari sebelum ni, kalau kena jaga sekatan jalan raya penat la sikit sebab berpanas, berhujan dan berhadapan dengan pelbagai orang awam,” katanya.

Sementara itu, jururawat, Noor Asiah Yusof berpendapat pakej bantuan yang diberikan amat bagus.

“Bagi saya pakej bantuan PERMAI ni bagus, ia macam bagi bonus untuk frontliner, disebabkan kerja pun bukan macam dulu dah, kena pakai PPE panas lagi malah risiko pada diri sendiri dan juga keluarga. Syukur, sekurang-kurangnya ada juga tip,” ujarnya.

Di samping itu, pegawai bomba, Mohd Anuar Ismail mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang diberikan.

“Kami di barisan hadapan amat berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan. Ini sedikit sebanyak membantu kami untuk berkhidmat dengan lebih bersemangat kepada negara,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia merupakan satu lagi bentuk bantuan kepada rakyat berjumlah RM15 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari lepas.

Ia merangkumi bantuan menerusi 22 inisiatif dengan tiga matlamat iaitu memerangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Bagi memerangi wabak Covid-19, sejumlah RM3 bilion disuntik untuk vaksin yang akan diperolehi seawal bulan Mac depan untuk sepanjang tempoh 12 bulan bagi 27 juta rakyat Malaysia.

Selain itu, penambahan 3,500 anggota kesihatan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk jawatan penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat yang akan mula bertugas pada hujung bulan ini.

Kerajaan juga memperuntukan RM100 juta kepada hospital swasta yang bersetuju menerima dan merawat pesakit Covid-19 dan bukan pesakit Covid-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam.

Seterusnya, untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan Covid-19 secara persendirian, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan pada Belanjawan 2021, kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -