Darurat jaga maslahat rakyat, bukan politik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Proklamasi darurat yang dikuatkuasakan kerajaan adalah untuk menjaga nyawa rakyat.

Tindakan itu selari dengan tuntutan Islam kerana ia untuk menjaga permasalahan umum dan nyawa masyarakat.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, ketika ditemui di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung darurat yang diperkenalkan kerajaan menurut kaca mata Islam.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 250 asnaf sempena Program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2.0 di pekarangan lobi Kompleks Islam Darul Naim.

Beliau berkata matlamat darurat utamanya menjaga nyawa manusia walaupun ada yang melihat ia sebagai tindakan politik.

Dalam konteks kerajaan berperlembagaan dan negara demokrasi berparlimen, katanya, apa sahaja boleh berlaku termasuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan wabak belum reda.

“Agama mengajar kita supaya menjaga nyawa dan ia diletak dalam maqasid syariah. Negara jiran iaitu Thailand hanya mencatat lebih 100 kes positif Covid-19 semalam.

“Namun dan ianya dikira besar bagi mereka sedangkan negara kita antara 3,000 hingga 4,000 setiap hari. Bayangkan kalau kita buka laluan ini untuk diadakan pilihan raya, keadaan lebih dahsyat boleh berlaku,” ujarnya.

Ahmad Marzuk berkata, Islam membenarkan menolak mudarat yang bukan berasaskan kepentingan politik.

Tambahnya, sekiranya proklamasi darurat dibuat berasaskan politik, sudah pasti Kerajaan Persekutuan mengambil alih pentadbiran negeri dikuasai pembangkang tetapi itu tidak berlaku.

Katanya, sebagaimana negeri yang diperintah pembangkang Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan misalnya kerajaan boleh mengambil alih pentadbiran sekiranya darurat itu demi kuasa politik.

“Kelantan sebelum ini pernah berlaku apabila Persekutuan ambil alih pentadbiran negeri ketika darurat diisytiharkan.

“Ini membuktikan proklamasi darurat sekarang lebih kepada kemaslahatan rakyat dan rakyat wajib patuh kepada pemerintah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -