Pesuruhjaya PAS Terengganu positif Covid-19

PJ PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang…disahkan positif Covid-19.

KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang hari ini, disahkan positif Covid-19 tanpa gejala dan menerima rawatan di Hospital Setiu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid memaklumkan, kondisi Dato’ Husain berada dalam keadaan baik dan sihat tanpa sebarang gejala.

Advertisement

“Dukacita dimaklumkan, YB Senator Dato’ Ustaz Haji Husain Awang, selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah disahkan positif Covid-19, hari ini.

“Beliau telah ditempatkan di Hospital Setiu untuk rawatan. Bagaimanapun beliau (Dato’ Husain) dalam kondisi sihat tanpa sebarang gejala.

“Marilah bersama kita berdoa agar beliau dilindungi Allah SWT serta dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan, insya Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan tiga perenggan kepada media, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PAS Terengganu menyeru orang ramai agar melakukan solat hajat dan bermunajat bagi memutuskan rangkaian penularan Covid-19.

Katanya, arahan telah dikeluarkan kepada seluruh peringkat jentera parti agar amalan itu dilazimi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Solat hajat setiap malam dan membaca Qunut Nazilah dalam setiap solat fardu lima waktu setiap hari, sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita bersama-sama mendoakan supaya Allah Ta’ala melindungi kita semua daripada jangkitan wabak (Covid-19) ini dengan dikurniakan selamat sejahtera dan sihat wal’afiat,” tegasnya.

Menurut sumber Harakah, kes Covid-19 di negeri ini terdapat 131 kes baharu dan yang sedang dirawat 563 kes dengan jumlah terkini sebanyak 1,355 kes. – HARAKAHDAILY 23/1/2021