Covid-19: Siyasah syar‘iyyah cegah kepanikan sosial

Foto hiasan.
- Advertisement -

KECELARUAN kefahaman hukum dan salah maklumat yang tercetus dalam kalangan masyarakat adalah antara penyebab kepanikan sosial yang kini kerap berlaku. Menurut pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli, hal ini disebabkan wujudnya kelompok mengambil kesempatan melakukan ijtihad dalam menentukan hukum hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat sedangkan mereka tidak memiliki kelayakan atau autoriti melakukannya.

- Advertisement -

Ketidaklayakan terbahagi kepada dua. Satu golongan yang benar tidak layak iaitu golongan ulamak segera, yang tidak mahir satu pun ilmu alat, fiqh dan tidak menguasai usul fiqh dengan baik. Yang kedua golongan yang mahir segala keperluan ulamak yang faqih tetapi tidak berada dalam saf autoriti negeri atau negara. Erti kata lain mereka tidak mewakili ulil amri dalam penetapan hukum untuk golongan awam.

Kepanikan ini juga terhasil apabila rakyat tidak mengutamakan maklumat rasmi atau krisis skeptikal dengan maklumat kerajaan atas pelbagai alasan. Betapa serius kepanikan sosial dan salah maklumat boleh kita lihat teladan di Iran apabila 44 orang dilaporkan maut manakala ratusan lagi dimasukkan ke hospital akibat terminum alkohol beracun yang konon digunakan untuk merawat koronavirus (Covid-19). Tragedi itu berlaku selepas terdapat khabar angin yang mendakwa pengambilan alkohol boleh menyembuhkan atau mencegah jangkitan virus tersebut.

Tulisan ini penulis khususkan perbahasan sekitar impak Covid-19 yang menghasilkan kepanikan sosial.

Panik sosial

Panik sosial bukanlah fenomena baru. Ia fitrah manusia sejak zaman batu. Panik itu menyediakan diri kita untuk bertindak dan menyelamatkan diri. Namun ia boleh menjadi teruk dan negatif jika tidak dikawal pemerintah. Beberapa kajian ada membincangkan keadaan panik sosial, antaranya adalah Goode dengan teori grassroots, Cohen dengan tulisan folk devilsh dan Hall mengenai gelagat masyarakat apabila melihat satu peristiwa.

Cohen mengenalpasti bahawa terdapat empat agen yang berpengaruh dalam menanam sebuah kepanikan sosial iaitu media massa, usahawan, kawalan budaya dan masyarakat. Dari senarai ini medialah yang paling berpengaruh. Cohen menggunakan istilah folk devils atau pengacau masyarakat untuk menggambarkan kelompok, orang, pelaku yang menjadi ‘musuh media’ kerana dianggap membahayakan moral masyarakat. Dalam konteks ini Covid-19 adalah virus yang sangat berbahaya dan dapat membunuh dalam waktu cepat.

Media secara aktif menyiarkan berita-berita perkembangan tentang Covid-19 namun maklumat ini akan terbina sebagai pengacau atau folk devils, orang-orang yang tertular atau terjangkit adakan segera ditanggapi sebagai ‘anasir pengganggu’ dalam masyarakat. Teori pelabelan penyimpangan, yang berasal dari teori sosial interaksionisme simbolik adalah teori yang paling penting daripada Cohen. Masyarakatlah yang memberi label pada suatu peristiwa atau insiden. Kepanikan sosial menurut teori Cohen merupakan situasi atau kelompok manusia yang muncul dan didefinisikan sebagai ancaman bagi nilai atau kepentingan masyarakat. Dalam kes penyebaran Covid-19, media membuat norma yang awalnya berjalan dengan baik dan sesuai dengan tatanan nilai yang berlaku di masyarakat berubah menjadi kefahaman buruk. Misalnya keburukan terpancar apabila masyarakat yang panik memborong barang secara berlebihan yang mengakibatkan kehilangan barang dalam pasaran.

Panik sosial di Malaysia

Antara kepanikan sosial yang tercetus pada awal penularan wabak hingga kini adalah melibatkan isu keagamaan, ibadat, isu pegurusan komoditi dan bekalan serta mekanisme penularan.

  1. PKP akan kurang makanan
    Kepanikan paling awal PKP adalah hilangnya roti putih dan telur dalam pasaran akibat permintaan melampau tinggi. Ini satu pembelian panik dan ia tidak wajar berlaku sedangkan kerajaan telah memberi jaminan kecukupan makanan sebelum mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
  2. Kesan sampingan vaksin dan vaksin perlu ditolak kerana agenda Yahudi
    Antara kitab rujukan golongan ini adalah buku Jerry D. Gray di dalam buku Deadly Mist bahawa suntikan-suntikan yang diberikan adalah merupakan ciptaan Amerika Syarikat dan Yahudi untuk mengawal dan membunuh populasi dunia yang sudah terlalu ramai. Kononnya dengan mencipta virus-virus baharu dan ianya juga digunakan untuk melemahkan sistem imunisasi.
  3. Isu negara lain boleh solat rapat Kerajaan Melayu Islam tetapi tutup masjid
    Kempen sebegini memang tiada dalam media mainstream tetapi banyak dalam media sosial, berbalas-balas jawab menjawab seolah-olah tiada isu besar untuk dibahas. Ada juga agamawan yang membawa contoh negara lain seolah tiada pihak autoriti agama dalam negara ini atau erti kata lain si penyebar itu merasa lebih ‘alim’ daripada pihak anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.
    Serangan kepanikan sosial dilancar menerusi rantaian maklumat palsu dan samar-samar atau ambiguity:
    i) Propaganda antivaksin
    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menyatakan kerajaan memang memantau rapi dakyah antivaksin melalui media sosial hari ini. Ada juga golongan kumpulan yang berada di tengah-tengah iaitu kumpulan ‘vaccine hesitancy group’ yang mempunyai keraguan terhadap vaksin terutamanya vaksin Covid-19, tetapi tidak menolak vaksin secara langsung. Mereka ini mudah dipujuk oleh dakyah antivaksin.

ii) Teori palsu konspirasi
New York Times, 20 April 2020 mendedahkan virus korona telah menyebabkan banyak teori konspirasi, maklumat terpesong dan propaganda. Karen M. Douglas, ahli psikologi sosial yang mengkaji kepercayaan konspirasi di University of Kent di England menyatakan semasa kepanikan sosial ini, masyarakat percaya ada pihak yang mengetahui sesuatu rahsia atau agenda yang menyebabkan mereka tertarik mempercayai teori konspirasi. Ahli teori konspirasi semua membawa mesej bahawa satu-satunya perlindungan adalah datang dari mereka yang mengetahui kebenaran rahsia itu dan ini.

iii) Ulamak selebriti atau ulamak persendirian
Video tular baru-baru ini mengenai pendakwah terkenal tanah air yang mempersoalkan amalan norma baharu ketika penularan Covid-19 wajar dikaji semula. Menerusi video itu, pendakwah berkenaan mendakwa tatacara solat berjemaah bercanggah dengan syariat Islam apabila perlu mengambil jarak berbanding dirapatkan seperti saranan hadis.

iv) Golongan politikus ambil kesempatan
Contoh untuk sub topik ini boleh ditinjau sendiri kerana terlalu banyak dan ia berlaku silih berganti selagi adanya minat untuk berpoliticking dalam isu melibat nyawa seperti Covid-19 ini.

Apa peranan konsep siyasah syar’iyyah?
Para fuqaha mentakrifkan siyasah syar’iyyah sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya. Dalam penakrifan lain mereka berkata menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak. Kebanyakan tulisan yang berkaitan dengan siyasah syar’iyyah mendefinisikan pengertian siasah dengan definisi yang berkisar di atas kedua-dua takrif tersebut.

Ibn Khaldun membahagi siasah kepada siyasah diniyah pengurusan keagamaan dan siyasah aqliyah iaitu berlaraskan akal, polisi dan kebijakan pemerintah. Siasah yang bersandarkan kepada kekuatan akal (siyasah aqliyyah) juga wajib dipatuhi. Kewajiban mematuhi siasah akal ini kerana tindakan, keputusan dan dasar yang diambil melalui kaedah ini tetap berpandu kepada kepentingan dan kemaslahatan masyarakat seluruhnya. Siasah inilah yang diterap oleh Kerajaan Malaysia dalam menentukan kaedah saf dalam solat semasa wabak, bilangan jemaah dalam masjid, mewajibkan vaksin dan mewajibkan swab test, menyekat perjalanan harian rakyat, mengawal perjalanan industri sepanjang wabak. Ia bukan semata-mata bersumberkan para ulamak arahan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM juga) merupakan siasah Kerajaan Malaysia untuk menjaga ad dharuriah al khams rakyatnya.

Misalnya kerajaan melaksanakan PKP adalah bersumberkan kaedah sadd az zirai’ (سَدُّ الذَّرِيعَةِ) merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan.

Majoriti rakyat Malaysia akur dan patuh dengan arahan KKM, Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama serta) majlis-majlis agama negeri-negeri. Hanya segelintir kecil sahaja yang kononnya memberontak namun ia tidak popular. Bersatunya rakyat bersama ketetepan kerajaan mengharungi wabak adalah satu kesatuan yang berkat dan benar.

“Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Siasah kerajaan mengurus kefahaman dan pengamalan

a) Isu vaksin – arahan KKM
Pada Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia keluarkan hebahan menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan sebarang iklan, claim atau kenyataan terhadap tuntutan pencegahan atau rawatan Covid-19 termasuklah di Internet melainkan sumbernya daripada KKM. Hal ini bukan menampilkan KKM itu ‘arrogant’ atau apa. Bukan pula menunjukkan kerajaan menyempitan definisi kesihatan hanya melalui KKM. Ia sebagai satu pencegahan daripada berlakunya eksploitasi terhadap minda pengguna agar membeli dengan gopoh sehingga terkena produk yang menipu. Ia satu tindakan menjaga maslahah umum di kalangan rakyat terbanyak.

Berbicara tentang antivaksin, Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun menganggap mereka sebagai ancaman kepada negara kerana kempen mereka mampu merencatkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan. Golongan ini yang turut terdiri daripada cerdik pandai itu dengan mudah boleh mempengaruhi orang lain untuk menolak vaksin Covid-19 sekiranya penularan pandemik itu masih berlaku dalam keadaan negara sudah menerima vaksin. Bekalan vaksin yang akan diterima pada peringkat awal memang terhad beberapa juta sahaja manakala populasi rakyat kira-kira 30 juta. Bermakna Covid-19 tidak akan segera lenyap dengan penvaksinan peringkat awal. Ia perlu beberapa peringkat dan gelombang. Selalunya golongan anti vaksin mampu memanipulasi keadaan ini.

Sokongan pihak autoriti agama

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri ada mengupas pandangan tokoh ulamak dunia, Sheikh Abdallah Sheikh Al-Mahfoudh Bayyah mengenai vaksin Covid-19. Sheikh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu ada membuat penghuraian penggunaan vaksin itu dalam kalangan umat Islam secara tuntas menurut empat mazhab. Sheikh Abdullah juga berpandangan adalah wajib di sisi syarak kepada semua pihak yang lain untuk menghulurkan bantuan kepada kementerian negara masing-masing menguruskan hal ini dengan bantuan yang sepatutnya, bagi menghalang penyebaran dan menghapuskan wabak ini. Hal ini dengan tidak menyebarkan info-info yang tidak benar dan hanya menyebarkan maklumat rasmi daripada kementerian.

Dari segi fatwa, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang mengambil ketetapan untuk mengharuskan penggunaan vaksin Covid-19. Keputusan pandangan ini telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah, sultan serta raja di negeri-negeri bagi mendapatkan perkenan untuk tindakan selanjutnya. Menurut Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, penetapan wajib mengambil vaksin yang ditetapkan kerajaan adalah satu usaha yang sangat baik. Malah umat Islam tidak sewenang-wenangnya memberikan hukum dan menghalang umat Islam daripada mengambil vaksin tersebut tanpa bukti-bukti yang kukuh. Muzakarah dibuat secara kolektif bukannya secara keputusan ulamak persendirian atau bebas. Muzakarah mengambil keputusan yang penuh tanggungjawab terhadap masa depan rakyat dan realistik dengan kondisi negara.

b) Ijtihad saf dan bilangan jamaah masjid

Arahan autoriti agama Islam di Malaysia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bagaimana norma baru ke masjid adalah menurut syarak dan ianya mematuhi kehendak Islam.
• Keputusan berkaitan masjid adalah dalam kerangka hukum ditetapkan melalui ijtihad dalam wewenang sebuah kerajaan yang sah.
• Berpandukan kaedah kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa tindak-tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah (kepentingan umum semasa).
عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَة تَصَرَّفُ الإمَامِ
Kaedah ini bermakna pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.
• Norma baharu ini bukanlah bergantung kepada satu pendapat ulamak sahaja.
• Pembudayaan norma baharu juga adalah berdasarkan pandangan daripada Muzakarah Majlis Fatwa (MF) Kebangsaan, fatwa di peringkat negeri, bahkan fatwa ulama di peringkat antarabangsa.

Komentar ulamak mursyid

Ulama tersohor kini Habib Umar Ibn Hafiz pernah berucap bahawa masjid boleh menjadi tempat-tempat kesembuhan. Selagi mana pemerintah tidak melarang untuk menghadiri solat Jumaat maka mereka tetap wajib hadir. Akan tetapi jika ada larangan maka mereka wajib berkumpul untuk solat di rumah-rumah mereka. Mereka juga wajib merutinkan zikir-zikir mereka dan bersedekah sebagai cara untuk menjaga (dari virus). Habib Umar juga menyarankan bawang merah dan bawang putih sebagai ubat alternatif untuk menghadapi virus sebagai satu ikhtiar tambahan bukannya menafikan perubatan biasa. Rakyat juga harus tetap tenang dan tidak panik.

Seorang ulamak Islam terkemuka Kanada, Sheikh Mohammed Tahir Al-Qadri mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan teori konspirasi mengenai vaksin Covid-19. Dakyah itu viral di media sosial sebagai cubaan mempengaruhi orang ramai menolak suntikan vaksin Covid-19 dan menurut beliau bertentangan dengan ajaran Islam kerana menyelamatkan nyawa adalah satu ibadah dan ia dituntut dalam ajaran agama kita.

Demikian nasihat para ulamak yang mursyid, tidak mementingkan diri malah membawa mesej ketaatan kepada ulul amri dalam hal siyasah syar’iyyah yang menguntungkan rakyat. – HARAKAHDAILY 23/1/2021

- Advertisement -