Sumbangan tilam KPPK, YaPEIM buat mangsa banjir

- Advertisement -

TEMERLOH: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah menyampaikan sumbangan berupa tilam diperbuat daripada kenaf untuk mangsa-mangsa banjir di sekitar sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Serahan tersebut disampaikan kepada Setiausaha Khidmat Malaysia Pahang, Hasanuddin Salim yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh di Pusat Tarbiah Darul Ansar Kampung Cempaka, di sini.

Tilam tersebut adalah produk salah satu agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang bertujuan meningkatkan ekonomi negara dan salah satu langkah untuk mempromosikan kenaf itu sendiri.

Turut serta adalah Pengarah LKTN Kota Bharu, Idris Mohd Salleh dan sumbangan tersebut merupakan yang kelima oleh KPPK yang sebelumnya telah menyampaikan sumbangan sama di Raub, Chenor, Kemaman dan Kluang.

Dato’ Dr Khairuddin sebelum itu sempat melawat ke beberapa rumah kediaman yang terkesan akibat banjir di Kampung Mempatih dan menyerahkan sendiri sumbangan tilam kenaf kepada mangsa banjir terlibat.

Dimaklumkan, pihak KPPK turut menyediakan sedikit peruntukan baik pulih jambatan gantung di Kampung Ulu Sungai Raub yang merupakan salah satu jalan untuk ke ladang yang merupakan antara ladang program di bawah KPPK.

Secara umumnya beliau berharap kebajikan dapat terus disalurkan kepada rakyat dan sumbangan ini sampai kepada mangsa banjir yang terlibat.

Sementara itu di RAUB, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengagihkan 500 tilam kepada 250 keluarga terjejas akibat banjir menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami – Misi Bantuan Program Musaadah 2021.

YaPEIM dalam satu kenyataan menyatakan, tilam berkenaan dihantar menggunakan treler dalam majlis pelepasan yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Kompleks Islam, Putrajaya, semalam.

“Kesemua keluarga yang terkesan akibat banjir masing-masing menerima dua gulung tilam bagi setiap keluarga dan ia dapat meringankan beban akibat kemusnahan harta benda,” kata YaPEIM dilapor Bernama.

YaPEIM berkata sumbangan yang diagihkan itu juga bertujuan, memaksimumkan agihan wang sumbangan amal jariah yayasan, yang disumbangkan orang ramai untuk digunakan sebagai manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan. – HARAKAHDAILY 22/1/2021


- Advertisement -