PN Melaka akan agih 1,000 kit makanan di bawah FBPM

- Advertisement -

MELAKA: Sebanyak 1,000 kit makanan bernilai RM50,000 akan diagihkan di bawah Program Food Bank Prihatin Melaka (FBPM) kepada penduduk negeri ini yang hilang punca pendapatan ekoran penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata sumbangan bagi fasa satu itu akan mula disalurkan mengikut permohonan secara berperingkat bermula esok.

- Advertisement -

Beliau, yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, berkata program anjuran PN Melaka itu selaras dengan fokus parti berkenaan untuk membela kebajikan penduduk Melaka.

“Sumbangan barangan keperluan makanan asas di bawah FBPM adalah daripada pihak swasta atau individu dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi pemimpin PN Melaka atau Facebook rasmi PN Melaka.

“Program ini akan diteruskan pada fasa seterusnya tetapi kelulusan permohonan akan dijalankan secara berperingkat mengikut kemampuan dan jumlah sumbangan yang diterima menerusi FBPM,” katanya pada sidang media program FBPM, di sini, hari ini.

Mohd Rafiq, yang merupakan Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, berkata perkembangan pelaksanaan FBPM akan di uar-uarkan di laman Facebook PN Melaka dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan penubuhan Jawatankuasa PN Melaka yang bertujuan memastikan gerakan membela dan memperkasa rakyat negeri itu dapat terus dilaksanakan secara lebih berkesan, proaktif dan menyeluruh.

“Saya akan menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan PN Melaka manakala Naib Pengerusinya disandang Kamarudin dan Dr Mohd Yadzil Yaakub,” katanya.

Beliau berkata Setiausaha PN Melaka pula ialah Zamzuri Arifin manakala Penolong Setiausaha ialah Mohamad Ridzwan Mustafa. – BERNAMA

- Advertisement -