Patuhi SOP ketika wabak makin menular


ALOR SETAR: Rakyat Kedah khususnya yang beragama Islam diajak bermunajat memohon ke hadrat Allah SWT supaya penularan wabak Covid-19 ini segera berakhir.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negara sekarang berhadapan peningkatan kes positif wabak yang agak serius sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Advertisement

“Solat hajat dan munajat sebagai usaha agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir.

“Apabila wabak berakhir ekonomi, alam sekitar, pengurusan manusia dan alam dapat dapat dipulihkan,” katanya di majlis Seruan Munajat di surau kediaman rasmi Menteri Besar Seri Mentaloon, malam tadi.

Berikutan itu beliau menasihati orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu tidak berada di tempat sesak, memakai pelitup serta amalkan penjarakan memandangkan virus mudah berjangkit.

“Penularan seumpama super spreader cepat berjangkit ke individu lain khususnya melalui mata, hidung dan mulut.

“Doa pemimpin atau khalifah mudah dimakbulkan dan saya yakin Ulul Amri yang dimaksudkan dalam al-Quran merujuk kepada ulama dan pemimpin seperti yang pernah disebut almarhum Tuan Guru Nik Aziz,” katanya.

Hadir sama pada majlis anggota-anggota Exco, Adun, Ahli Dewan Negara dan wakil ulama. – HARAKAHDAILY 22/1/2021