PAS Kuantan giat bantu mangsa banjir di kawasan lain

KUANTAN: PAS Kawasan Kuantan telah menggerakkan operasi bantuan pasca banjir melibatkan gabungan tenaga lebih 60 anggotanya ke Temerloh, Mentakab, Maran, Raub, Lipis dan Cameron Highlands.

Advertisement

Yang Dipertua PAS Kuantan, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang sendiri mengetuai gerak kerja dijayakan bersama oleh Pemuda, Jabatan Amal, Ameerah dan As-Sabiqun ini.

Operasi yang menumpukan kerja-kerja mencuci dan membersihkan rumah mangsa banjir dan premis masyarakat serta menyampaikan sumbangan barangan dapur ini telah dilangsungkan selama dua hari, minggu lalu.

Usaha ini bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir yang terkesan musibah banjir melanda kebanyakan daerah negeri ini di mana mengakibatkan kerosakan serta kemusnahan kediaman serta harta benda.

Antara pimpinan PAS Kuantan yang turut bersama dalam operasi ini adalah Ketua As-Sabiqun Pahang, Ustaz Ismail Muhammad dan Ketua Pemuda, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai serta Komandan Amal Kuantan, Abdul Hadi Badrulhisham dan Ketua Ameerah DUN Tanjung Lumpur, Siti Aminah Abdul Aziz.

Siti Aminah ketika mengulas mengenai operasi ini telah berkongsi pengalaman sukar dilupakan antaranya bertemu mangsa banjir yang hidup sebatang kara di rumah serba daif dan hampir roboh, tetapi teruja dibantu.

“Pengalaman yang berharga ini mengajar kita erti kesabaran dan keredhaan apabila terkena musibah,” ujar pemimpin Muslimat Muda ini.

Selain misi operasi tersebut, pihak PAS Kuantan juga merancang mengadakan lagi usaha yang sama ke beberapa daerah lain turut terkesan dengan banjir kali ini. – HARAKAHDAILY 22/1/2021