Mangsa banjir di Pahang diberi bantuan sewa rumah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang menyediakan sejumlah peruntukan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) bagi menyewa rumah lain selepas rumah mereka rosak teruk akibat banjir baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu disediakan susulan banjir yang melanda negeri itu kecuali Cameron Highlands.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan negeri bersetuju beberapa cadangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir bagi menghadapi tempoh pasca banjir.

“Antara bantuan yang dipertimbangkan sumbangan one-off kepada KIR yang berdaftar dengan Pusat-pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing.

“Pemberian rebat kepada KIR sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk bulan Januari ini.

“Manakala bagi rumah yang kehilangan sepenuhnya, rebat penuh kegunaan air diberikan kepada KIR terbabit untuk bulan Januari dan Februari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum itu beliau menyertai gotong membersihkan sekolah yang ditenggelami banjir baru-baru ini.

Menteri Besar juga berkata, pengecualian sewa untuk bulan Januari 2021 turut disediakan kepada penyewa-penyewa di gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terkesan akibat banjir.

“Pengecualian sewa gerai Pihak Berkuasa Tempatan untuk satu tempoh sehingga gerai-gerai terbabit dipulihkan sepenuhnya bagi gerai yang mengalami rosak teruk akibat banjir,” ujarnya.

Kata beliau juga pejabat-pejabat daerah dan tanah menyelaraskan usaha mengesan rumah-rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan penyelenggaraan pendawaian elektrik.

Selain itu cadangan mewujudkan Pusat Penempatan Serbaguna (PPS) secara kekal bagi penempatan mangsa-mangsa banjir terutamanya di daerah-daerah terkesan teruk. – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -