Covid-19: Sunat baca qunut nazilah

- Advertisement -

MARANG: Wabak seumpama Covid-19 ini pernah berlaku di zaman awal Islam seperti penyakit taun dan pemerintah Islam mengarahkan kuarantin bagi membendung penularan pandemik itu.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kejadian penyakit wabak seumpama ini pernah berlaku di zaman pemerintahan Islam dahulu.

Bahkan, katanya pemerintah Islam ketika itu mengarahkan agar dikosongkan masjid termasuk menghentikan solat Jumaat dan berjemaah.

- Advertisement -

“Apabila berlakunya wabak bencana dan pernah berlaku di zaman awal Islam sehingga pihak berkenaan, pemerintah Islam di zaman dahulu mengarahkan supaya dikosongkan masjid, dihentikan sembahyang Jumaat dan sembahyang jemaah.

“Sekiranya wabak itu menular, pernah dilakukan di Masjid Nabawi, Madinah. Masjid Al-Azhar dan beberapa buah masjid di negara Islam.

“Kemudian ulamak mengarahkan supaya dilakukan kuarantin dengan cara yang tersebut merupakan suatu cara yang ditunjukkan oleh Nabi kita Muhammad SAW, dan disunatkan membaca qunut nazilah pada tiap-tiap sembahyang,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Sebelum itu, beliau turut membaca firman Allah yang bermaksud; “Demi sesungguhnya kami akan uji kamu dengan sesuatu daripada rasa takut, kurangnya harta benda, kematian nyawa, kurangnya buah-buahan dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Mereka itu ialah orang-orang yang apabila ditimpa musibah bencana mereka berkata, sesungguhnya kita dari Allah dan akan kembali kepada Allah”.

Manakala, katanya terdapat hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari apabila Aisyah r.a bertanyakan Rasululah SAW tentang penyakit wabak dan taun.

“Berkata Aisyah r.a katanya, aku bertanya Rasulullah SAW berkenaan dengan wabak, taun. Lalu, baginda (Nabi) SAW bersabda, “Ia adalah azab yang Allah Taala turunkan kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-Nya. Dan menjadi Rahmat kepada orang-orang yang beriman.

“Barang siapa yang berada di tempat berlakunya wabak, taun dan sebagainya. Lalu dia bersabar dan dia tidak percaya melainkan yang ditentukan oleh Allah. Maka, akan diberi kepadanya pahala kelebihan syahid’, hadis Riwayat Imam Bukhari,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tuan Guru Abdul Hadi turut memetik hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Daripada Usamah bin Zaid r.a dan sabda Nabi (Muhammad) SAW: Apabila kamu mendengar berlakunya wabak di suatu negeri, taun dan sebagainya. Maka, jangan kamu masuk ke negeri itu dan apabila kamu berada di kawasan wabak, jangan kamu keluar daripadanya’. – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -