Sediakah parti politik depani media sosial rakyat?

KINI adalah zaman persaingan idea dan maklumat. Media sosial menjadi instrumen yang berkesan bagi sesebuah kempen politik, jika ia dimanfaatkan dengan cara yang betul.

Akses maklumat yang ditawarkan oleh media sosial, seiringan dengan ciri masyarakat sivil yang terbuka. Justeru parti politik yang sudah berusia harus sedar akan realiti perkembangan masyarakat yang tidak termakan dengan kempen-kempen propaganda lapuk.

Advertisement

Parti politik dan rakyat

Antara fungsi parti politik adalah, mendidik rakyat agar memahami kerangka politik berdasarkan ideologi masing-masing. Ia diseimbangkan dengan kesedaran, bahawa parti politik perlu bersuara demi kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti politik itu sendiri.

Dalam erti kata lain, parti politik sebagai penyampai kepada hasrat-hasrat rakyat. Hubungan antara kedua pihak itu mesti akrab. Adalah menjadi satu kesilapan jika parti politik mengolah propaganda-propagandanya yang kelihatan ingin berseteru dengan rakyat.

Hal ini bukanlah bermaksud parti politik perlu bersikap serba pragmatik dan populis. Sebaliknya cukup dengan parti politik memahami keresahan rakyat dan tidak merendahkan daya intelektual mereka.

Parti politik dan media massa

Dr. Burhan Bungin di dalam kajiannya yang bertajuk Komunikasi Politik Pencitraan telah membahaskan peranan media massa yang perlu dicermati, khususnya bagi parti-parti politik. Beliau merumuskan, kehadiran media sosial dapat menyelenggara semula masalah birokrasi maklumat dalam politik:

(1) Ketelusan.
(2) Kebertanggungjawaban.
(3) Partisipasi.

Sesebuah parti politik harus sedar bahawa rakyat hari ini boleh mendapat akses sebahagian besar dari maklumat yang memadai pada kadar penilaian mereka sebagai rakyat biasa. Jika dahulu, komunikasi parti-parti politik sama ada dari pemerintah atau pembangkang, kebanyakkannya berlaku secara sehala. Maka ruang proses semak dan imbang amat terhad.

Adapun hari ini, rakyat memperolehi ruang berpartisipasi yang lebih terbuka dalam menilai retorik-retorik politik. Perkembangan tersebut menyaksikan, mana-mana parti politik yang dilihat berdusta dan tidak serius akan segera dilondehkan oleh rakyat melalui media sosial.

Bagi pentaksub politik, sudah pasti melihat ia merupakan perkembangan yang mengancam survival politik mereka. Namun bagi rakyat, ia adalah baik kerana dapat menawarkan proses semak dan imbang agar retorik-retorik politik yang membabitkan nasib mereka dapat dinilai secara terbuka.

Zaman sudah berubah

Jika dahulu, parti politik hanya perlu mendepani ahli mereka. Sudah pastilah ahli itu tertakluk di bawah peraturan-peraturan yang dibuat oleh parti politik yang disertai. Dalam situasi tersebut, suara mereka mudah didiamkan secara birokrasi.

Adapun hari ini, parti politik perlu berdepan dengan rakyat. Mana-mana parti politik yang telus dan berjiwa besar menawarkan dialog yang responsif dengan rakyat, maka mereka akan berjaya memenangi hati rakyat.

Peranan ini tidaklah semudah dengan memperbanyakkan akaun media sosial, kemudian memuatkan hantaran-hantaran yang hanya menyedapkan perasaan ahli-ahli parti semata-mata. Sebaliknya, kesediaan berdialog, menjawab dengan adil, bahkan mengakui kekhilafan adalah maksud di sebalik ruang partisipasi rakyat dengan parti-parti politik.

Mengapa gagal di media sosial?

Hari ini kita melihat, hampir semua parti politik bergelut dengan masalah yang hampir sama. Iaitu menjadi ‘bahan’ di media sosial rakyat. Malah perkembangan ini menyingkap bayangan, bahawa kepercayaan rakyat sedang beralih kepada kumpulan-kumpulan 3rd Force dari segenap segmen masyarakat.

Berdasarkan pemerhatian rambang saya dengan menggunakan kaca mata sebagai rakyat biasa, parti-parti politik hari ini berdepan dengan beberapa kekeliruan ketika berkomunikasi di media sosial. Antaranya:

(1) Retorik atau alasan-alasan politik yang bermasalah. Hal ini termasuklah dengan mengangkat logik yang rapuh, seringkali berubah, tidak konsisten dan makan diri. Inilah beban utama yang mengakibatkan terhakisnya kepercayaan rakyat.

(2) Menganggap cyber troopers mampu menguruskan imej parti secara keseluruhannya. Sedangkan ia hanyalah sistem sokongan yang turut bergantung dengan nilai kredibiliti semasa parti itu sendiri.

(3) Hanya reaktif untuk membela nama parti, tanpa berupaya berdialog secara rasional dan berobjektif demi kepentingan rakyat.

(4) Gemar mengangkat ayat-ayat self claiming yang hanya asyik didengar oleh pengikut masing-masing. Sementara rakyat awam yang menjadi sasaran utama dalam kempen politik, sukar menerima propaganda lapuk seperti itu. Gejala ini juga adalah implikasi dari tabiat echo chamber yang telah saya tulis dalam artikel terdahulu.

(5) Delusi dengan suruhan agar ahli parti masing-masing mengetik like, share and retweet untuk kelihatan laris tanpa isi-isi yang signifikan dengan realiti rakyat dan umat. Delusi seperti ini semakin tebal apabila cuba dijustifikasikan dengan angka dan graf yang secara separa sedar, masing-masing tahu bagaimana ia direka.

(6) Kurang empati terhadap masalah rakyat. Sebahagiannya kerana sikap terlalu defensif, menyebabkan apa-apa kritikan akan dilawan seperti menentang musuh. Hingga terkadang rakyat melihat mereka dimusuhi oleh parti politik. Ia juga menyukarkan parti politik untuk memahami apakah masalah sebenar yang disuarakan oleh rakyat.

Kesimpulan

Sememangnya fitrah manusia sukakan keterbukaan. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika menjelaskan surah Ibrahim ayat 24 yang mengumpamakan Kalimah Tayyibah itu ibarat dahan yang menjulang ke langit, bermaksud mesej yang terbuka dapat difahami dan diterima oleh semua manusia.

Keterbukaan dalam berdialog dan menganjurkan nilai keadilan yang seragam menjadi faktor utama kejayaan politik Nabi. Cuma sedarkah kita bahawa pada hari ini, proses tersebut berlaku dalam media sosial.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 21/1/2021