PKP: Lanjutan masa operasi kedai runcit dan makanan

Pemuda PAS bertemu Menteri Kanan (Pertahanan) bawa cadangan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, hari ini saya dan pemimpin Pemuda PAS diizinkan oleh Allah S.W.T dapat berjumpa dengan Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Menteri Kanan (Pertahanan) di pejabat beliau pada jam 2 petang tadi.

Sekitar isu yang dibincangkan berkenaan kebajikan dan kesejahteraan kehidupan rakyat dalam tempoh pelaksanaan PKP kali ini. Kami memberi fokus kepada topik yang hangat kini, berkaitan Lanjutan Masa Operasi bagi perniagaan runcit, kedai atau gerai makan, foodtruck dan tempahan makanan.

- Advertisement -

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Malaysia telah mencadangkan agar tempoh operasi kedai bagi perniagaan runcit, kedai atau gerai makan, foodtruck dan tempahan makanan dapat dilanjutkan sehingga jam 10 malam di atas beberapa faktor yang seperti berikut:

(i) PKP kali ini, rakyat telah dibenarkan untuk keluar bekerja seperti biasa walaupun tertakluk kepada batasan had dan jumlah pekerja di pejabat telah dikurangkan.

(ii) Tempoh operasi kedai makanan sehingga jam 8 malam adalah terlalu awal untuk mereka yang pulang dari tempat kerja atau yang bekerja dari rumah. Mereka tidak dapat membuat persiapan makan malam bagi diri sendiri dan keluarga atas faktor urusan kerja terutamanya yang berada di kawasan bandar.

(iii) Mengurangkan tempoh waktu operasi akan mengakibatkan pendapatan para peniaga dan penghantar makanan terjejas dalam tempoh ini.

(iv) Tempoh lanjutan 2 jam sehingga jam 10 malam pastinya tidak menjejaskan kawalan jangkitan COVID-19 dengan syarat hanya penghantaran makanan dan perkhidmatan ‘takeaway’ sahaja yang dibenarkan seperti sekarang.

Alhamdulillah, cadangan kami akan diteliti oleh pihak MKN dan kami berharap agar MKN akan mengambil berat kesukaran yang dihadapi oleh rakyat sekarang. 

Kami juga yakin kelonggaran yang akan diberikan ini mampu mengurangkan beban rakyat dari sudut ekonomi dan emosi. Semoga pihak MKN dapat memberikan rakyat berita baik dalam masa terdekat ini. 

Mari kita bersama-sama doakan agar Allah permudahkan segala urusan kita dan dapat menjaga negara kita dari terus dibelenggu wabak penyakit COVID-19 ini.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -