Minyak masak masih lagi cukup di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Hasil tinjauan kerajaan mendapati kebanyakan peruncit mempunyai bekalan minyak masak bersubsidi (paket 1 kg) dan tiada isu kekurangan bekalan seperti didakwa sebuah NGO.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, berdasar maklum balas daripada peruncit dan pembekal didapati bekalan minyak masih mencukupi.

- Advertisement -

Katanya, hasil siasatan mendapati hampir setiap premis yang diperiksa mempunyai stok minyak masak bersubsidi dan tidak berlaku terputus bekalan dalam tempoh yang lama.

“Cuma maklum para peniaga berlaku peningkatan permintaan minyak paket 1 kilogram akibat kenaikan harga minyak masak botol baru-baru ini,” katanya di sini.

Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE) baru-baru ini mendakwa berlaku kekurangan bekalan minyak masak di negeri ini.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff dilapor berkata, pihaknya menerima aduan kesukaran mendapatkan minyak masak bersubsidi daripada pengguna di tiga daerah yang terjejas sejak Khamis lalu, antaranya Kota Setar, Pendang dan Langkawi.

Menurut beliau hasil tinjauan CAKE mendapati bekalan minyak masak bersubsidi sukar diperolehi sejak 1 Januari lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB (Bersyarat) dan PKPP (Pemulihan).

Wan Romani juga berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi (paket 1kg) yang dibangkitkan CAKE baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -