Hampir semua pelajar YIK hadir persekolahan

Pengarah YIK ketika membuat lawatan di sebuah sekolah YIK hari ini.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Hampir 100 peratus pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) hadir pada hari pertama dan kedua sesi persekolahan tahun 2021 bermula.

Timbalan Pengarah YIK (Bahagian Sekolah), Ustaz Che Kamaruddin Kamel Che Muhammad, berkata hasil pemantauan dibuat, didapati pelajar agama itu bersemangat untuk belajar.

- Advertisement -

“Pada masa yang sama mereka bersemangat untuk menghadapi peperiksaan.

“Pelajar tidak hadir hanya beberapa orang sahaja itupun yang dikenakan kuarantin berikutan keluarga masing-masing dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Beliau memberitahu, prestasi itu diperolehi hasil pemantauan pihaknya bermula semalam dan hari ini.

Jelasnya, bahagian kenaziran mengarahkan semua kakitangan dan pegawai berkaitan ke sekolah-sekolah aliran YIK seluruh Kelantan.

Menurutnya, mereka menempatkan seorang pegawai di setiap tiga atau empat buah sekolah dalam tempoh dua hari ini.

Sambungnya, rekod kehadiran pelajar serta masaalah yang dihadapi pelajar, guru dan sekolah semua diambil untuk diselesaikan seberapa segera.

Jelasnya, kebetulan semalam dan hari ini merupakan hari akhir peperiksaan percubaan Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi pelajar tingkatan empat yang tertunda Oktober tahun lalu.

“Kita bersyukur kerana mereka bersemangat untuk datang bersekolah dan menghadapi peperiksaan,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, rutin motivasi perlu diadakan di setiap buah sekolah memandangkan ianya sudah menjadi kelaziman khususnya pelajar yang akan menghadapi peperiksaan.

Bagaimanapun, menurutnya motivasi berkenaan hanya diadakan di peringkat sekolah dan tidak melibatkan pihak luar.

Jelasnya, motivasi mesti diberikan sebagai pembakar semangat untuk mereka apa lagi ketika serangan Covid-19 yang semakin meruncing.

Sehubungan itu, beliau menasihati pelajar supaya sentiasa berwaspada dengan Covid-19 agar tidak mudah dijangkiti.

Sambungnya, standard operating procedure (SOP) mesti dipatuhi serta tidak bebas ke mana-mana bagi mengelak berlaku jangkitan virus tersebut.

“Pelajar mesti menjaga sebaik mungkin terutama semua calon SMU, SPM dan STAM 2021.

“Kalau kena kuarantin di saat-saat akhir, macam mana kita nak buat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -