ASEAN bergerak kolektif tangani jenayah siber

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara ASEAN perlu bergerak secara kolektif bagi mengurangkan jenayah siber rentas sempadan dalam tempoh pasca Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara anggota ASEAN perlu bersiap untuk muncul sebagai blok ekonomi digital yang kompetitif.

- Advertisement -

Katanya cabaran utama yang dihadapi pengelompokan serantau dunia maya untuk terus maju bagi mengurangkan jenayah siber dan memajukan ekonomi digital.

“Malaysia menyedari sifat jenayah siber rentas sempadan dan cabaran untuk membawa penjenayah siber ke muka pengadilan.

“Bagaimanapun ia memerlukan pendekatan serantau yang dikoordinasi dan bersepadu,” katanya pada ucaptama sempena Mesyuarat Menteri Digital ASEAN pertama (ADGMIN1) yang diadakan di secara maya hari ini. ADGMIN1 bertema ‘ASEAN: Komuniti Terhubung Secara Digital’.

Mesyuarat maya dua hari itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Menurut laporan Bernama perdana menteri mahu negara-negara anggota ASEAN tidak lagi beroperasi dan bekerja secara terpisah.

Kata beliau ASEAN perlu membincang dan menyatakan sokongan kepada peraturan, normal dan prinsip antarabangsa mengenai tingkah laku bertanggungjawab di dunia maya.

“Malaysia menuju ke arah objektif keselamatan dengan rancangan dan strategi yang komprehensif untuk menyediakan ruang siber yang aman, dipercayai dan berdaya tahan.

“Dan pada masa yang sama memupuk kesejahteraan ekonomi untuk kesejahteraan semua negara anggota ASEAN,” katanya.

Beliau juga menyarankan agensi penguatkuasaan nasional negara anggota perlu dilengkapi alat canggih termasuk kemampuan forensik digital bagi memerangi jenayah siber.

“Ia perlu disatukan sepenuhnya di seluruh wilayah agar benar-benar berkesan terhadap pelanggaran rentas sempadan.

“Negara-negara anggota harus mempunyai lebih banyak sumber dan tekad daripada sindiket jenayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -