Ambil tindakan tegas terhadap pengkhianat negara

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan tindakan Dato’ Sri Anwar Ibrahim melampaui batas dan derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkenan Proklamasi Darurat.

Menurutnya, pengisytiharan darurat adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Ujarnya, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menerima taklimat daripada penjawat awam utama sebelum keputusan itu diambil.

Mohammad Tawfik berkata, perkenan proklamasi darurat tidak dibuat berdasarkan kepentingan politik, tetapi meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Baginda jelas bijaksana dalam hal ini kerana baginda mempertimbangkan semua aspek dan berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu yang bukan calang-calang pengalaman dan pendidikan.

“Malah, Al-Sultan Abdullah juga pernah menolak permohonan kerajaan kali pertama untuk mengisytiharkan darurat sebelum ini ketika kes Covid-19 masih rendah dan kini kes terlalu tinggi, maka wajar dan tepat darurat ketika ini,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Katanya lagi kerajaan perlu bertindak lebih tegas bagi menongkah segala tindakan mana-mana ahli politik yang cuba menggugat usaha menangani wabak Covid-19 dan kestabilan politik serta ekonomi negara.

“Ketegasan ini perlu dilaksanakan segera berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada kerana dapat dilihat usaha tidak henti-henti oleh pembangkang sehingga mengirim warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan semula darurat,” ujarnya.

Jelasnya, bukan tugas pembangkang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan perkara darurat tersebut.

“Saya lihat Anwar seolah-olah masih mengimpikan jawatan Perdana Menteri sehingga mahu berperanan sebagai ketua kerajaan untuk menasihati baginda,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, penubuhan jawatankuasa khas bebas merupakan suatu konsesi terbaik bagi menggembleng usaha kerajaan dan pembangkang dalam usaha mencari penyelesaian bagi menangani Covid-19.

Sebelum ini, Anwar menyatakan sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Al-Sultan Abdullah dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.

Dalam satu sidang media semalam, Ahli Parlimen Port Dickson menyatakan pihaknya telah menghantar surat kepada pihak Istana Negara pada Selasa bagi memohon kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah mempertimbangkan semula proklamasi darurat.

Di dalam satu kenyataanya lain, Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan dalam satu sidang media, pihaknya sedia mencabar titah baginda berkenaan perkara ini di mahkamah. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -