Umno syukur pakej PERMAI diumum kerajaan

- Advertisement -

BANYAK pihak melihat sedikit perbezaan pandangan antara Umno dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai isu besar. Sebenarnya tidak begitu. Ia boleh dianggap sebagai lumrah.

Tidak semestinya perbezaan pandangan itu sebagai menolak ikatan yang sedia terjalin. Namun biasalah mana-mana portal dan media cetak ada agenda sendiri.

- Advertisement -

Satu para yang menggambarkan perbezaan, itulah yang diperbesarkan. Ia dijadikan tajuk dan diheret berjela-jela. Tujuannya bagi menggambarkan kerajaan PN retak menunggu belah. Itu kerja mereka biarlah.

Begitu juga berkaitan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Ia diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Isnin lepas. Pakej bantuan itu setidak-tidaknya ada ruang untuk rakyat marhaen dan frontliners.

Bukan sedikit peruntukannya. Sebanyak RM15 bilion disediakan bagi tujuan itu. Sebaliknya ada yang membandingkan RM250 bilion Pakej Prihatin Rakyat sebelum ini.

Pakej Prihatin memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat. Termasuk juga kakitangan kerajaan, golongan B40, M40, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), sektor korporat dan swasta.

Hampir RM128 bilion daripada jumlah itu disalurkan bagi kebajikan rakyat. Lalu ada yang bertanya mengapa Mac tahun lepas besar peruntukan, sekarang kecil.

Malah Pakej Permai memfokus tiga matlamat. Pertama menangani wabak Covid-19, kedua menjaga kebajikan rakyat. Dan ketiga menyokong sektor perniagaan.

Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia diberi bantuan one-off RM500 dan bulanan pula RM600. Bayaran RM600 diteruskan sehingga wabak berakhir.

Selain itu bantuan one-off pemandu teksi, e-hailing dan bas sebanyak RM500.
Kerajaan juga mengumumkan lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran bulanan mangsa banjir, kumpulan B40, M40 dan PKS terkesan.

Maklumkan sekarang ramai peniaga kecil tidak boleh berniaga. Warung tidak boleh dibuka kecuali untuk bungkus sahaja.

Pakej itu mungkin pusingan awal. Dipercayai ada lagi pakej lain bakal menyusul sekiranya kondisi wabak masih menular. Boleh jadi selepas ini muncul pakej Sejahtera pula.

Zahid syukur

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi turut melahirkan kesyukuran di atas pengumuman yang dibuat kerajaan.

Kata beliau segala bantuan diumumkan untuk rakyat kita sokong penuh.

“Kerajaan sememangnya patut berbelanja untuk rakyat. Lebih-lebih lagi pada waktu PKP program bakul makanan jauh lebih penting berbanding projek dewan badminton,” catatnya di media sosial.

Bagaimanapun beliau menganggap PERMAI masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat supaya kekal tenang di rumah.

Ahmad Zahid mahu rakyat kekal di rumah. Bagaimanapun di sebaliknya gesaan itu ada pemimpin Umno lain mahu diadakan sidang khas parlimen membincang proklamasi darurat.

Surat Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan seperti mahu keadaan sebaliknya. Ia dilihat seiring dengan pendirian pembangkang, mahu mencabar proklamasi darurat.

Namun presiden Umno nampaknya lebih memahami situasi sekarang. Kata Ahmad Zahid, kita memahami beban kewangan kerajaan untuk memberi bantuan lebih besar kepada rakyat.

Malah Umno juga menundakan Perhimpunan Agung yang sepatutnya diadakan akhir minggu hadapan. Ramai menunggu detik persidangan terbabit.

Mengapa tidaknya. Persidangan itu dikatakan akan membincangkan hasrat segelintir pihak dalam Umno menolak kerjasama dengan Bersatu.

Pendirian itu sudah dinyatakan Ketua Umno Machang Ahmad Jazlan dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz.

Namun isu terbabit seperti tergantung selepas persidangan Umno ditangguh. Semuanya kerana pandemik Covid-19. Bukan lagi kerana agenda perdana menteri mahu pertahankan kuasa politik. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -