PUTIK jadi Pusat Kuarantin Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebelum ini Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) menjadi tempat muktamar PAS diadakan kerana mampu memuatkan sehingga 3,000 perwakilan dan pemerhati.

Bagi pendukung PAS termasuk dari Sabah dan Sarawak juga tahu di mana lokasi bangunan PUTIK. Kedudukannya bersebelah dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

- Advertisement -

Malah pada 12 dan 13 September lepas dewan besar PUTIK sekali lagi menjadi tempat berlangsung muktamar PAS.

Namun muktamar itu memperlihatkan normal baharu apabila terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan pandemik Covid.

Bagaimanapun sekarang dewan besar PUTIK bertukar fungsi dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) gejala rendah di Kelantan.

Sejak beberapa hari lepas persiapan dilakukan dengan menyusun katil dan kemudahan lain bagi menempatkan pesakit kes Covid-19.

Difahamkan dewan besar PUTIK mampu memuatkan 120 katil dan menempatkan pesakit lelaki.

Setiausaha Kehormat Sukarelawan YADIM Kelantan, Tuan Hissam Tuan Mamat berkata, pihaknya dan beberapa NGO tampil membantu kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan mempersiapkan kemudahan di PKRC tersebut.

“Antara kemudahan dan keperluan yang diperlukan oleh PKRC tersebut termasuk set peralatan permainan kanak-kanak, kit solat dewasa dan kanak-kanak (lelaki dan perempuan).

“Selain itu kain pelikat dan sejadah. Sukarelawan YADIM Kelantan dan NGO Misi Kembara Dakwah (MKD) terpanggil untuk turut membantu memandangkan kes harian Covid-19 di Kelantan menunjukkan trend menaik,” katanya di sini.

Premis kerajaan negeri yang turut dijadikan PKRC iaitu Dewan Jubli Perak MPKB BRI.– HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -