PKP: Sultan Mizan seru rakyat tidak leka

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua bermula 22 Januari hingga 4 Februari 2021, telah menggariskan kebenaran bagi aktiviti keagamaan dan kemasyarakatannya.

Ini kerana, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri Terengganu.

- Advertisement -

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Osman Muda berkata, Tuanku Sultan Mizan mengingatkan agar rakyat Terengganu tidak alpa dan sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

“Baginda menyeru supaya rakyat jelata tidak alpa dan sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri Terengganu, dan sama-sama memainkan peranan dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

“Baginda berdoa agar wabak Covid-19 ini dapat dikawal dan rantaian penyebaran dapat diputuskan dengan segera, agar kehidupan rakyat jelata kembali seperti biasa dan berdoa semoga rakyat jelata sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah SWT,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Sehubungan itu, kata Osman, pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan hanya 40 orang dalam kalangan anak mukim tidak termasuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Katanya, pelaksanaan solat fardhu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan kepada imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid tidak melebihi satu orang sahaja.

“Sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah maghrib, kuliah subuh, kuliah dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

“Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan mematuhi segala SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), dari masa ke semasa supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah dapat berjalan dengan baik,” jelasnya dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, kata Osman, semua pegawai agama daerah diarahkan membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -