PERMAI: Bantu rakyat, baik pulih ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diperkenalkan kerajaan dapat membantu mengurangkan beban rakyat di samping membaik pulih ekonomi negara.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyokong penuh PERMAI bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu.

- Advertisement -

“Pakej yang diperkenalkan ini membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat di samping membaik pulih semula ekonomi negara dan memerangi wabak Covid-19 yang masih berleluasa,” ujar Ketua Penerangan DMPM, Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Katanya, antara insentif yang sangat menarik di dalam pakej itu adalah kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang dalam membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Tambahnya, penyumbang tersebut layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka.

“Insentif potongan cukai ini secara tidak langsung, dapat menggalakkan rakyat untuk melaksanakan amal kebajikan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan akan terus disalurkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, ujarnya kerajaan turut tidak mengenepikan golongan-golongan rentan seperti warga emas, gelandangan, OKU dan mangsa banjir dengan memperuntukkan RM25 juta di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan kerajaan.

Di samping itu juga, tambahnya kumpulan barisan hadapan terus diberi sokongan padu daripada kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat.

“Insentif ini untuk membantu frontliners dalam memerangi wabak Covid-19 yang masih di tahap kritikal,” katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau DMPM menyokong sepenuhnya usaha kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat dalam memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan dan menyokong kelangsungan perniagaan. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -