‘Nampak saya pemain utama, seorang tidak boleh’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS memilih pendirian untuk memastikan kedua-dua gabungan, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, menerusi kajian yang dilakukan, tiada parti yang boleh menang untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang sekiranya bersendirian.

- Advertisement -

“Kita (PAS) mahu memastikan kedua-dua gabungan ini (MN dan PN) bersatu. Dalam kajian kita, tiada parti yang boleh menang untuk memerintah sendirian pada pilihan raya akan datang, mesti bergabung dengan parti lain.

“Dengan sebab itu, kita utamakan gabungan orang Melayu Islam dahulu supaya kepimpinan Islam dapat diwujudkan dengan kuat.

“Sebab itu kita, mendesak supaya MN dan PN sama-sama. Bagi kita, perlunya kuatkan MN, perkasakan PN supaya kepimpinan Melayu Islam dapat bersatu, dalam masa yang sama, melibatkan sekali masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendekatan PAS menjelang PRU15 sama ada memilih MN atau PN dalam Bicara Negarawan bersama Presiden PAS bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara, semalam.

Mengulas lanjut, katanya yang bimbang sekiranya orang Melayu Islam di negara ini berpecah kembali akan menyebabkan berlaku sekali lagi suasana orang bukan Islam yang mendominasi.

Menurutnya, yang demikian itu tidak selaras dengan penduduk Malaysia yang didominasi oleh orang Melayu Islam.

“Kalau orang Melayu berpecah akan menyebabkan berlaku sekali lagi suasana didominasi orang bukan Islam, yang tidak selaras dengan penduduk (Malaysia) yang didominasi orang Islam dan akan berlaku kecelaruan.

“Islam mensyaratkan kepimpinan Islam mesti daripada kaum yang mendominasi penduduk. Ini syarat dalam kita fiqh Islam,” jelasnya.

Formula menyatukan parti politik

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi yang optimis pertembungan antara Umno dan BERSATU dapat diselesaikan menjelang PRU15.

Katanya, antara perkara yang dihadapi adalah sedia maklum Umno sebelum ini pernah memerintah, malahan perasaan untuk kembali memerintah masih ada.

“Kita telah berjaya mewujudkan piagam MN melibatkan parti PAS dan Umno dengan BERSETUJU untuk memperkasakan kepimpinan Melayu Islam termasuk mengajak parti-parti politik lain dan NGO untuk sertai MN. Ini yang kita bersetuju.

“Malangnya apabila kita nak ajak terdapat pertembungan politik antara Umno dan BERSATU. Walau bagaimanapun, majoriti kepimpinan Umno positif (terima), cuma bagaimana kita nak selesai yang negatif ini. Insya-Allah menjelang PRU15, akan diatasi masalah ini,” katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi peneraju penyatuan

Ketika ditanya apabila ramai yang menyifatkan beliau sebagai peneraju kepada penyatuan Umno dan BERSATU, dengan rendah diri katanya beliau bukan bergerak berseorangan.

“Sebenarnya saya bukan pemain utama. Kita bermain berpasukan. Kalau saya seorang bawa bola letih tak sampai ke gol. Sebab itu mesti passing passing. Walaupun orang nampak saya pemain utama, seorang tidak boleh, mesti berpasukan.

“Dalam Umno ada pasukan kita, dalam BERSATU ada pasukan kita. Jadi kita manfaatkan pasukan ini, mungkin dalam masa terdekat kalau ada yang tidak boleh menjalankan tugas kita tukar pemain itu. Terpulang kepada parti masing-masing untuk tukar pemain mereka,” ujarnya tenang.

RUU 355 ditangguhkan

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, Rang Undang-Undang 355 (RUU355) terpaksa ditangguhkan dan akan fokus kepada menyelesaikan masalah darurat yang dilaksanakan susulan peningkatan kes jangkitan wabak pandemik Covid-19.

Jelasnya, RUU355 pada peringkat awal adalah kerjasama PAS dan Umno ketika Umno menjadi kerajaan, namun setelah dibincangkan supaya memperkenalkan undang-undang yang mendidik dalam masalah takzir sahaja.

“Di mana hukuman takzir ini adalah hukuman sebat mendidik bukan sebat mendera iaitu sebatan sebanyak 40, 80 kali. Sebat dalam Islam tidak boleh mengoyak dan mencacatkan sekadar mendidik dan memalukan bagi gantikan hukuman penjara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Malangnya, dalam Umno tidak cukup sokongan kerana tidak semua yang menyokong, termasuk pihak Pakatan Harapan (PH) pada masa itu, menyebabkan usul RUU355 sekadar dapat dikemukakan untuk bacaan kali kedua sahaja di Dewan Rakyat, tidak diundi lagi.

“Namun, untuk undian terpaksa bawa usul sekali lagi dan perlu mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan kerana ia bukan usul kerajaan dan mesti memenuhi syarat yang terlalu banyak.

“Justeru, kita terpaksa tangguhkan dan selesaikan masalah darurat dahulu. Ini sangat penting bagi kita. Bahkan dalam sejarah Islam undang-undang yang keras pun ditangguhkan bila berlaku darurat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -