Kedah larang sebarang perayaan sepanjang PKP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak membenarkan sebarang sambutan perayaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu bermula 22 Januari hingga 4 Februari hadapan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, begitu juga perayaan Thaipusam yang dijangka disambut masyarakat India pada 28 Januari ini.

- Advertisement -

Katanya, bagi perayaan Thaipusam acara sembahyang di kuil hanya dibenarkan satu pertiga daripada keluasan kapasiti kuil tersebut.

“Contoh kuil itu boleh memuatkan 100 orang, jadi hanya dibenarkan 33 orang sahaja yang masuk bersembahyang.

“Manakala aktiviti di jalan seperti perarakan kavadi tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Berikutan itu kata beliau tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam tahun ini memandangkan tidak ada aktiviti rumah terbuka diadakan.

Begitu juga katanya sumbangan Tahun Baru Cina yang menjadi aktiviti tahunan hanya dibenarkan secara drive through dan walk through sahaja.

“Sambutan untuk perayaan itu juga tidak dibenarkan seperti kelazimannya seperti sebelum ini,” ujarnya.

Sanusi juga berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN) berkenaan keputusan PKP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap Kedah dan lain-lain negeri.

“Di Kedah SOP dikenakan sejak Mac 2020 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemantauan (PKPP),” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -