Jalan perdamaian menjamin survival ummah

- Advertisement -

KERJA menyatukan umat Islam menjadi satu kuasa politik yang ampuh bukanlah tugas sampingan atau main-mainan. Ia satu tuntutan agama yang serius. Rasulullah S.A.W berjaya menyatukan dua kaum terbesar di Madinah (dahulunya Yathrib) iaitu Aus dan Khazraj yang berbalah sehingga berperang sesama sendiri. Disatukan atas nama Ansar dan Ansar ini kemudiannya disatukan pula dengan golongan Muhajirin dari Makkah sehingga menjadi satu ketumbukan politik yang kukuh yang mampu bersama membentuk Negara Islam Madinah.

Kerana itu sebagai sebuah parti Islam PAS merasakan bertanggungjawab dan tidak jemu-jemu dalam memastikan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersatu menjelang Pilihan Raya Umum nanti menghadapi pembangkang khasnya PH satu lawan satu seluruh negara. Demikianlah ditegaskan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu forum anjuran Majlis Profesor Negara semalam.

- Advertisement -

Kata Tuan Guru hakikatnya tidak ada parti (Melayu Islam) yang boleh menang PRU nanti secara bersendirian. Contohnya Umno hanya mahu bersama PAS atau BERSATU hanya mahu bersama PAS akibatnya berpecah juga dan ia akan mengulangi keputusan PRU ke-14. Yang ruginya adalah kita.

Memang hari ini perbalahan antara Umno dan BERSATU cukup sengit namun Tuan Guru optimis kesemua pihak dapat disatukan menjelang PRU nanti dan semua pihak yang insaf dan sedar perlu memain peranan ke arah penyatuan ini.

Atas kesungguhan Tuan Guru ini ahli dan pimpinan PAS terutamanya wajib bangkit menjadi pendamai menjadi musleh yang bukannya meruntuh tetapi memperbaiki hubungan sehingga terbinanya jambatan perpaduan yang boleh dilalui semua khasnya umat Melayu Islam menuju kejayaan.

Pendamai dan musleh tidak boleh cenderung atau condong pada mana-mana pihak sehingga mengguris hati pihak lain tetapi perlu berlaku adil demi membina tuntutan agama ini. Sahabat Umno dan BERSATU berlapang dadalah, berjiwa besarlah menyambut tangan kiri dan kanan PAS bagi sama-sama kita bangkit sederap melangkah gagah bersama kerana itulah yang dinantikan rakyat jelata di luar.

Rasulullah S.A.W dengan bimbingan Allah S.W.T telah membuktikan bahawa Islam adalah kunci perpaduan sebenar. Dan kunci ini kekal relevan sampai bila-bila syaratnya kita perlu yakin dan istiqamah. Sambutlah jalan perdamaian ini kerana survival ummah terletak atas keikhlasan dan komitmen kita.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -