DBKL perketat SOP Pasar Borong Kuala Lumpur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperketatkan urusan kemasukan individu berkaitan ke Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) bermula Jumaat ini, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurut kenyataan DBKL hari ini, individu seperti pemilik kedai, pekerja dan pemborong perlu mengemukakan salinan keputusan saringan Covid-19 yang diiktiraf Kementerian Kesihatan dengan tarikh tidak lebih dua minggu sebelum dibenarkan masuk.

- Advertisement -

Individu tersebut juga perlu melepasi pemeriksaan suhu badan yang tidak melebihi 37.5 darjah Celcius dan mendaftar diri menggunakan aplikasi MySejahtera di pintu masuk PBKL.

Arahan lain yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan pas pelesen dan pas pekerja PBKL selain mematuhi prosedur operasi standard digariskan Majlis Keselamatan Negara, seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

“Individu yang gagal mematuhi arahan tersebut tidak akan dibenarkan memasuki dan berurusan di PBKL,” demikian menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -