Covid-19: Darurat untuk sekat penularan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS sejak dari awal lagi telah menyokong pelaksanaan darurat berdasarkan kepada corak penularan wabak Covid-19 yang menyerang seluruh pelosok muka bumi.

Bahkan, sehingga ke hari ini Malaysia belum berjaya mendapatkan vaksin bagi mengatasi penularan wabak itu, sedangkan kes positif Covid-19 semakin hari, semakin bertambah.

- Advertisement -

Antara puncanya adalah kemelut politik tidak menentu yang berlaku dalam arena politik negara hari ini.

Disebabkan itu, kerajaan terpaksa meredakannya melalui pengisytiharan darurat, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, dengan pelaksanaan darurat, ia sedikit sebanyak boleh mengelakkan negara daripada menjadi tumpuan tempat persinggahan pendatang asing mencari tempat perlindungan.

Katanya, sekiranya Malaysia berjaya mengharungi wabak tersebut dengan berkesan ia tentunya menarik perhatian pendatang daripada negara jiran untuk datang secara haram ke Malaysia.

Hal ini kerana mereka merasa selamat di Malaysia disebabkan negara mereka masih lagi berada dalam keadaan yang sukar akibat wabak tersebut.

“Kita terpaksa tangani dengan darurat, kalau kita berjaya sekalipun, negara jiran yang mempunyai populasi penduduk yang ramai (rakyatnya) akan datang ke tempat selamat (Malaysia).

“Jadi, masalah pendatang asing perlu ditangani. Kita telah lihat bagaimana barisan hadapan menerima kesan daripada wabak ini. Oleh itu terpaksa (kita) ambil tindakan segera.

“Saya dimaklumkan, anggota polis sudah mengatasi 10,000 petugas yang perlu dikuarantin, begitu juga dalam kalangan barisan hadapan lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya.

“Mereka sehinggakan kekurangan tenaga kerja. Kemudian, terdapat jalan-jalan tikus dengan tindakan tidak berperikemanusiaan dari segelintir pihak.

“Ia perlukan satu undang-undang yang tegas. Maka, darurat perlu diisytihar untuk membolehkan kerajaan bertindak tegas secara matang, bukan melulu,” ujarnya ketika berucap dalam bual bual bicara anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke mana Kita?’, semalam.

Mengulas lanjut, kata Ahli Parlimen Marang itu, pemimpin-pemimpin politik juga dalam masa sama perlu sedar dengan tindak-tanduk mereka yang keterlaluan dalam berpolitik.

“Kita kena sedar dalam suasana begini pun kita masih lagi berusaha hendak mencari kerusi, cukupkan jumlah. Sehingga hari ini tidak ada siapa yang boleh cukupkan kerusi untuk tubuhkan kerjaaan.

“Tanda tangan tidak ada, nama tak ada, senarai tidak ada, (maka) Agong tolak.

“Di Parlimen, usaha hendak tolak bajet juga tidak berjaya. Peringkat jawatankuasa, tidak cukup juga, satu demi satu dan sehigga hari ini tidak cukup.

“Kemudian, diuar-uarkan kerjasama Umno-DAP, namun Umno tidak boleh terima DAP, DAP tidak boleh terima Umno, hanya segelintir sahaja.

“Tun pula tidak boleh terima PKR, PKR pula tidak boleh terima Tun, ini jadi masalah, dan (kesimpulannya) tidak cukup (kerusi).

“Jadi yang paling banyak dominasi kerajaan adalah PN, dengan sebab itu kita boleh tangani masalah ini.

Justeru itu, kata beliau, langkah mengisytiharkan darurat adalah solusi dan jalan keluar terbaik ketika ini dengan cara yang matang, iaitu penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas darurat.

Jelas beliau, Jawatankuasa Khas Bebas akan memantau perkembangan darurat dan menilai situasi semasa sehingga tempoh yang terbaik untuk menghentikan darurat.

Setakat ini, darurat ditetapkan sehingga 1 Ogos, namun jawatankuasa tersebut akan menilai sekiranya darurat wajar dihentikan pada tempoh yang lebih awal.

Sekiranya darurat sudah selesai, maka sebarang pilihan raya boleh diadakan seperti yang dikehendaki bagi mengakhiri segala kemelut politik tidak menentu hari ini.

Tambah beliau, untuk mengadakan pilihan raya semasa Covid-19 belum berkesudahan, tindakan itu akan mengakibatkan pertambahan kes yang lebih tinggi dan memburukkan keadaan.

Atas faktor itu, kerajaan mengambil tindakan bijak dengan mengisytiharkan darurat tanpa mengira pandangan-pandangan sampingan yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan tersebut.

Malah, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan mendapati, majoriti peserta yang terdiri dalam kalangan rakyat Malaysia menyokong pelaksanaan darurat kerana mereka menyedari ancaman Covid-19. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -