Bebas setelah ambil suntikan vaksin COVID-19?

- Advertisement -

ADA yang bertanya kalau setelah mendapat suntikan vaksin COVID-19 nanti, perlukah kita masih lagi mengamalkan SOP seperti memakai pelitup muka, mengadakan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan, elakkan diri hadir di tempat-tempat yang ramai orang dan sebagainya?

Jawapannya ya, kita masih lagi perlu mengikuti SOP itu sehinggalah terdapat satu kajian baharu yang menyatakan bahawa SOP tidak perlu diamalkan. Vaksin sudah mencukupi untuk mencegah daripada diri kita dijangkiti oleh COVID-19.

Kita harus sedar bahawa keberkesanan vaksin yang telah diisytiharkan oleh syarikat pengeluar hasil daripada kajian yang telah dilakukan secara klinikal mendapati bahawa keberkesanannya adalah melebihi 90 peratus. Contohnya vaksin Pfizer, 95 peratus; Moderna 94.5 peratus. Begitu juga dengan vaksin lain yang juga mengisytiharkan jumlah keberkesanan melalui kajian yang telah dijalankan secara klinikal.

- Advertisement -

Kita juga harus faham bahawa vaksin itu adalah salah satu daripada ikhtiar selain daripada kita melakukan pencegahan-pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, tidak bercampur gaul dengan masyarakat yang ramai, mengadakan penjarakan fizikal dan seumpama dengannya. Jangan kita menganggap bahawa vaksin itu adalah satu bahan yang magik. Cucuk hari ini esok terus terlindung daripada dijangkiti oleh COVID-19. 

Badan kita memerlukan satu jangka waktu tertentu untuk menghasilkan antibodi bagi melindungi kita daripada dijangkiti oleh COVID-19. Kajian klinikal yang telah dijalankan oleh syarikat-syarikat pengeluar mendapati bahawa paling minima 14 hari pembentukan antibodi dalam badan manusia. Suntikan dos kedua juga diperlukan supaya pembentukan antibodi itu ke tahap yang maksima.

Hakikat yang wajib kita fahami adalah manfaat daripada kita diberi vaksin itu adalah untuk mendapatkan perlindungan dan pencegahan daripada penyakit COVID-19. Mudarat besar jika dijangkiti. Kajian mendapati 20 peratus akan dimasukkan ke wad kerana mengalami gejala teruk. 

Kita tidak nafikan mungkin segelintir individu terdapat kesan sampingan akibat suntikan seperti sakit, bengkak dan sakit badan. Cuma ianya bersifat sementara. Berbanding jangkitan COVID-19 itu yang lebih mendatangkan mudarat.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 20/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -