Positif Covid-19 tiada gejala, kawalan di rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan di rumah (HSO) bagi individu yang didapati positif Covid-19 yang tidak bergejala.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC).

Beliau berkata, pihak berkuasa akan membuat penilaian terlebih dahulu terhadap kediaman terbabit termasuk keluasan rumah serta tiada penghuni dari golongan berisiko orang tua dan kanak-kanak.

“Rumah akan dinilai samada sesuai atau pun tidak, kalau tidak sesuai individu terbabit akan dibawa kepada PKRC, bagi HSO kita pantau setiap hari melalui telefon.

“Kita juga sedang mencari tempat lain untuk dijadikan PKRC dan kita kenal pasti beberapa tempat lain seperti Dewan Majlis Daerah Ketereh, tetapi HSO akan buat di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Masalah Covid-19 Kelantan di tingkat tujuh bangunan Mabna MBI, di sini petang tadi.

Izani berkata, pihak berkuasa kini berhadapan dengan kesukaran untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana premis perniagaan masih beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, PKP 2.0 yang dilaksanakan sekarang diberikan sedikit kelonggaran berbanding PKP tahun lalu, yang menyebabkan pematuhan terhadap SOP masih rendah.

“Kita dimaklumkan polis sehingga kini memeriksa 35,000 kenderaan, pasar raya dan pasar basah dibuka namun ada pakai mask tetapi penjarakan tidak berlaku.

“Oleh itu polis akan melaksanakan penguatkuasaan ini bersama tentera, kesihatan dan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan perkara ini ditangani,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa peningkatan kes Covid-19 di Kelantan berpunca dari perantau yang pulang ke kampung halaman pada musim cuti sekolah dan Krismas baru-baru ini.

Katanya, balik ke kampung tidak menjadi masalah tetapi kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan menjadi sebab utama Kelantan kini menjadi zon merah daripada zon hijau.

“Boleh dikatakan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan disumbangkan oleh kepulangan anak perantau Kelantan dari zon merah seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

“Memang dahulu kita zon hijau, tetapi bila cuti sekolah, hari Krismas dan rentas negeri dibenarkan sekarang seluruh negeri kita menjadi zon merah puncanya tidak ikut SOP,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -