PERMAI: Impak besar jana kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) mampu memberi impak besar dalam menjana kebajikan rakyat, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.

Sehubungan itu, ujarnya, Pemuda PAS menyambut baik pengumuman PERMAI berjumlah RM15 bilion oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Advertisement

Tambahnya, pelaksanaan Program Subsidi Upah 3.0 dilihat akan memberi kesan positif kepada anak muda yang mengalami masalah kekurangan peluang pekerjaan dan pengangguran akibat pandemik COVID-19.

Di samping itu, kata beliau inisiatif Skim Mikrokredit, Geran Khas Prihatin PERMAI serta kempen ekonomi digital untuk PKS dan ‘Shop Malaysia Online’ akan membantu golongan usahawan, khususnya anak muda dalam mendepani kegetiran dalam perniagaan akibat pelaksanaan PKP 2.0.

“Pakej PERMAI juga memberikan sumbangan yang menyeluruh dengan bantuan kebajikan kepada golongan terjejas,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional dalam satu kenyataan, hari ini.

Di samping itu, tambahnya beliau lagi manfaat besar diperolehi oleh para frontliners dan pasukan kesihatan melalui elaun-elaun tambahan sebagai menghargai jasa mereka dalam memastikan negara bebas dari wabak COVID-19.

“Pemuda PAS yakin inisiatif ini akan dapat membantu rakyat di saat semua pihak sedang diuji dengan kesukaran akibat pandemik yang berlaku.

“Semoga pakej PERMAI ini mampu memberi impak besar dalam menjana kebajikan rakyat, di samping memastikan ekonomi negara terus berkembang ke arah lebih baik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/1/2021