Nelayan hilang, APMM mohon bantuan Indonesia

- Advertisement -

MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan telah memohon bantuan Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dikhuatiri lemas di Pulau Undan di sini.

Pengarahnya Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya memaklumkan kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) kelmarin jika menerima sebarang maklumat mengenai kejadian bot karam yang berlaku di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia di Selat Melaka.

- Advertisement -

“Selain itu, kita turut memaklumkan perkara sama kepada Badan Keamanan Laut (Bakamla) dan Polis Republik Indonesia (Polri) jika ada membuat tangkapan terhadap mana-mana rakyat Malaysia yang telah memasuki perairan negara itu sejak minggu lepas.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi maklum balas daripada ketiga-tiga agensi negara jiran itu mengenai kehilangan dua nelayan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Haris Fadzillah berkata tindakan menghubungi agensi keselamatan negara jiran dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat ada saksi, yang juga nelayan, ternampak sebuah bot seperti yang digambarkan oleh ahli keluarga mangsa telah tersasar dan masuk ke perairan negara jiran.

Beliau berkata ini merupakan hari ketujuh kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Norizan Mohamad, 37, dan Irwan Radjab, 47, dikhuatiri lemas selepas turun ke laut pada 13 Januari lalu.

“Walaupun kita telah menamatkan SAR pada jam 7 malam semalam namun pencarian terhadap kedua-dua mangsa yang hilang masih diteruskan di bawah Op Benteng.

“Arahan telah dikeluarkan kepada setiap kapal ronda APMM Melaka/Negeri Sembilan untuk terus menjejak kedua-dua nelayan terbabit sepanjang melakukan rondaan di Selat Melaka,” katanya.

Katanya, seramai empat pegawai dan 16 anggota APMM selain dua aset melibatkan sebuah jet ski dan Bot Benteng telah dikerahkan untuk mengesan mangsa sepanjang SAR yang berlangsung sejak Ahad lepas hingga semalam. – BERNAMA

- Advertisement -