Lanjut had tempoh hantar makanan – DPPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kembali Perintah Kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan banyak perkara yang dihadkan termasuklah operasi perniagaan kedai makan dan penghantaran makanan yang dibolehkan hanya sekitar 8 malam di seluruh negara.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya melihat tempoh ini masih boleh dipertimbangkan memandangkan PKP kali ini berbeza dengan yang dilaksanakan sebelum ini.

Susulan daripada itu, katanya Pemuda PAS mencadangkan supaya tempoh tempahan makanan dilanjutkan sehingga jam 10 malam atas beberapa faktor yang munasabah.

Antaranya, PKP kali ini dibenarkan untuk bekerja seperti biasa walaupun batasan had dan jumlah di pejabat telah dikurangkan.

“Tempoh jam 8 malam adalah terlalu awal untuk mereka yang pulang dari kerja atau yang bekerja daripada rumah untuk membuat persiapan makan malam atas faktor urusan kerja terutamanya yang berada di bandar.

“Mengurangkan tempoh waktu operasi akan mengakibatkan pendapatan para ‘rider’ agak terjejas dalam keadaan pelbagai kekangan kewangan yang sedang melanda mereka dalam tempoh ini.

“Tempoh lanjutan dua jam sehingga jam 10 malam pastinya tidak menjejaskan kawalan jangkitan dengan syarat, hanya penghantaran makanan dan perkhidmatan ‘takeaway’ sahaja yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Jelasnya, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan kewajaran cadangan itu bagi mengurangkan beban rakyat dari sudut ekonomi dan emosi.

Menurut Ahmad Fadhli, pihaknya terus konsisten mengingatkan kepada seluruh rakyat dan anak muda di luar sana untuk sentiasa menjaga jarak sosial dan memutuskan rantaian jangkitan wabak ini dengan serius agar rakyat boleh kembali menjalani kehidupan normal seperti biasa. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -