K’jaan digesa serius kekalkan warisan sejarah negara

- Advertisement -

BAYAN BARU: PAS Negeri Pulau Pinang menyokong cadangan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor agar tempat bersejarah diwartakan sebagai warisan dan dikendalikan di bawah Jabatan Warisan Negara.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, PAS Pulau Pinang pernah melakukan tindakan sama apabila menghantar memorandum agar Kampung Batu Uban dijadikan sebagai tapak warisan negara semenjak tahun 2012 lagi.

Beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang pada sesi 2010-2015 memaklumkan, bersama PAS Pusat perkara itu dibawa ke Menteri Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim pada masa 2012, namun tidak berhasil.

- Advertisement -

Terang beliau, usaha diteruskan pula bersama 40 penduduk Kampung Batu Uban bertemu Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, iaitu Menteri Kebudayaan dan Pelancongan pada 2013 di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Namun ujar beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bayan Baru, tetap masih gagal mendapatkan status tersebut hatta dilihat pihak-pihak berkenaan tidak serius dalam menjayakan usaha ini.

”Status tanah Batu Uban juga telah bertukar tangan kepada beberapa pemaju sehinggakan kampung ini kini telah dipagar dan hanya tinggal satu perempat sahaja daripada saiz asal.

“Di kampung ini juga terdapat masjid yang telah dibina sejak tahun 1734 di mana pada ketika itu kawasan masjid menjadi penempatan dan pelabuhan Melayu yang pertama di Pulau Pinang,” ujarnya menjelaskan aspek penting warisan itu.

Mantan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang ini juga berharap Kerajaan Perikatan Nasional dapat mewartakan segera tempat bersejarah seperti ini agar tanah-tanahnya tidak dibeli oleh pemaju sehingga hilang status bersejarahnya.

Pada Januari 2013, masjid tertua di Pulau Pinang tersebut telah dilawati oleh mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat dan pada Ogos 2020 lalu dilawati pula oleh Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Iszuree risau apabila kampung-kampung bersejarah ini diambil oleh pemaju, maka akan menyebabkan masyarakat Melayu semakin kurang sehingga berlaku kekosongan jemaah masjid seperti terjadi di Masjid Melayu Lebuh Acheh, George Town hari ini. 

“Manakala Clan Chew Jetty di George Town pula yang wujud sekitar awal abad-19 telah pula diiktiraf sebagai tapak warisan dunia berbanding Kampung Batu uban yang mempunyai masjid tertua di bina diawal kurun ke-17 sebelum kedatangan Inggeris.

“Ia telah dianaktirikan dari di iktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Sejarah Kampung Batu Uban ini pernah ditulis oleh Pensyarah USM, Prof A. Murad Marican.

“Namun sehingga kini masih tiada usaha untuk menjadikan kampung ini sebagai tapak warisan Melayu ulung di Pulau Pinang,” kesali beliau. 

Semalam, Sanusi mencadangkan agar semua tempat bersejarah dalam negara diwartakan bawah Akta Warisan dan dikendalikan oleh Jabatan Warisan Negara, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, ini kerana tempat bersejarah memerlukan peruntukan khas untuk memulihara kawasan terlibat agar ia terus terpelihara sebagai artifak dan aset sejarah negara.

“Perlu ada peruntukan khas bagi menjaga dan mengawal selia tempat atau struktur sejarah. Kos pemuliharaan amat tinggi selain perlu diselenggara secara berkala bagi mengurangkan kerosakan akibat dimamah usia.

“Kerajaan negeri tidak mampu menyediakan peruntukan besar untuk memulihara khazanah berharga ini, namun negeri boleh mewartakan ia sebagai warisan negeri selain memastikan ia terpelihara selepas dinaik taraf,” katanya.

Menurut beliau, Kedah antara negeri yang memiliki banyak tempat, struktur, monumen, artifak bersejarah di mana sebahagiannya dikawal selia bawah Jabatan Warisan.

“Ada banyak struktur dan monumen penting di seluruh negara telah diletakkan bawah Akta Warisan melalui warta kerajaan. Antaranya, Tapak Arkeologi Sungai Batu, yang sehingga kini masih belum dibangunkan sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau mengulas laporan khas Sinar Harian berhubung bangunan Galeri Putera yang menjadi saksi sejarah Rundingan Baling pada tahun 1955 antara Kerajaan Perikatan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) terabai dan semakin usang.

Galeri yang terletak di salah satu bangunan Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling itu menempatkan ruang pameran peralatan sejarah serta bilik rehat pemimpin PKM, Chin Peng dan Rashid Maidin dalam keadaan daif.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berharap peninggalan bersejarah itu segera dipulihkan untuk tatapan generasi kini.

“Kita sepatutnya bangga dengan warisan sejarah khususnya yang melibatkan negeri kita, ia bukan bawah tanggungjawab kerajaan semata-mata, namun perlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat agar lebih prihatin dan memastikan ia terpelihara,” katanya.

Katanya, walaupun ia bawah seliaan Jabatan Warisan, pihaknya akan meminta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) meneliti keperluan segera dan melakukan kajian bagi memastikan warisan itu ‘tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas’. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -