Darurat: UMMAH sedia cabar saman Anwar

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menyediakan pasukan peguam pakar bagi persediaan untuk mencelah tindakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mencabar Proklamasi Darurat.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa menyifatkan tindakan Anwar mencabar keabsahan Proklamasi Darurat adalah satu tindakan yang cuba mencabar kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, As-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

- Advertisement -

“Agong telah berpuas hati dengan penjelasan dan berkenan membuat keputusan berdasarkan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan Anwar juga memperlihatkan beliau seorang yang sangat gila kuasa dan berpolitik tanpa batasan sehingga sanggup memperjudikan nasib hidup rakyat dan keselamatan negara.

“Sepatutnya beliau perlu bersama-sama kerajaan bagi memupuk semangat patriotik rakyat dan menyeru kepada memperkasa perpaduan negara dalam menghadapi cabaran besar yang dihadapi oleh negara sebagaimana dititahkan oleh Agong semasa pembukaan Parlimen terdahulu,” ujarnya pada satu kenyataan, hari ini.

Zai berkata, UMMAH mewakili lebih 500 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara telah bersedia dengan pasukan peguam untuk berhadapan mencabar saman yang akan dikemukakan oleh pasukan peguam Anwar bagi mempertahankan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 17 Januari lalu, menerusi kenyataan akhbar, Anwar mengumumkan akan mencabar Proklamasi Darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan di mahkamah.

Kenyataan itu menyusul selepas tiga hari Ahli Parlimen Port Dickson itu mencadangkan semua Ahli Parlimen mengutus warkah kepada Agong bagi memohon perkenan Baginda membatalkan Proklamasi Darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -