PKP 2.0 tidak jejas ekonomi secara ketara – AmBank

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) berserta pengisytiharan darurat bagi membendung COVID-19 di negara ini, tidak akan memberi impak ekonomi yang ketara berbanding PKP sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat sedikit impak susulan pelaksanaan sekatan pergerakan itu yang akan dilihat pada separuh pertama 2021, demikian menurut Ambank Group menerusi Ambank Research, hari ini.

Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan kumpulan itu, Dr Anthony Dass berkata pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 0.6 peratus dan 1.3 peratus dengan mengambil kira keseluruhan kapasiti ekonomi yang beroperasi sekitar 50 hingga 60 peratus pada suku pertama 2021, seterusnya meningkat kepada 70 hingga 80 peratus pada suku kedua dan beransur-ansur sehingga ekonomi beroperasi seperti biasa pada separuh kedua 2021.

- Advertisement -

“Ini bermakna unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 6.5 peratus bagi 2021 kini dijangka sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus.

“Peningkatan pertumbuhan itu masih ada, bergantung kepada keadaan di peringkat luar dan domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia telah melaksanakan PKP 2.0 (berkuat kuasa 13-26 Januari) pada 11 Januari dan disusuli dengan pengisytiharan darurat bagi membendung peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara pada 12 Januari, 2021.

Menurut Dass, pengumuman itu turut membangkitkan sama ada pemulihan ekonomi akan turut tertangguh.

“Walaupun terdapat sedikit impak dalam jangka pertengahan, namun ini dijangka tidak menyebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada 2021,” katanya.

Beliau berkata, susulan tumpuan terhadap sokongan ekonomi dan usaha membendung pandemik itu, PKP 2.0 dilihat tidak membabitkan sekatan pergerakan yang ketara kerana membenarkan aktiviti ekonomi terus beroperasi.

“Sektor utama seperti pembuatan, perindustrian, pembinaan, perkhidmatan, pengedaran dan perdagangan, perladangan dan komoditi turut dibenarkan beroperasi bagi menyokong keperluan asas dan memastikan rantaian bekalan tidak terjejas. Ini turut menyokong prasarana kritikal serta tugas-tugas segera lain,” katanya.

Menurut Dass, terdapat potensi senarai sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi itu, akan dilonggarkan lagi.

“Beberapa perniagaan mikro yang mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan, dijangka dibenarkan untuk turut beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan 2021 akan turut dipacu oleh pelaksanaan langkah rangsangan berjumlah RM325 bilion yang dijangka dilaksanakan secara lancar dan berkesan, sokongan pertumbuhan eksport susulan peningkatan KDNK dan perdagangan global serta harga komoditi yang lebih kukuh.

Selain itu, katanya, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, dijangka sekitar US$50 dan US$53 setong (sebelum ini US$42-US$45 setong) manakala purata harga minyak sawit mentah pula RM3,000-RM3,200 satu tan (sebelum ini RM2,500 hingga 2,600 satu tan).

“Seiring dengan andaian bahawa pandemik itu lebih terkawal pada 6-12 bulan, akan turut memacu keseluruhan ekonomi domestik,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -