Melaka raih 222 beg darah

- Advertisement -

AYER KEROH: Sebanyak 222 beg darah berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh dua hari berlangsungnya program Amal Mega Blood Donation (AMBD) yang dianjurkan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Melaka, jelas Pengarah Program, Ustaz Mohamad Al-Hafiz Yahya.

Mengulas lanjut, jumlah beg darah yang terkumpul di AEON Bandaraya Melaka pada Ahad menurut beliau ialah sebanyak 149 beg manakala 73 beg lagi ketika program dilaksanakan di Mydin Ayer Keroh pada Sabtu.

- Advertisement -

“Alhamdulillah boleh dikatakan ini adalah satu pencapaian yang baik dan pihak hospital menunjukkan keterujaan untuk bekerjasama dengan Jabatan Amal pada masa akan datang,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, jumlah pendaftaran yang ditolak hanya setakat 16 orang disebabkan oleh masalah kesihatan, tekanan darah, jumlah hemoglobin dan sebab lain seperti memakai tindik pada badan.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Perubatan Transfusi (Tabung Darah) Melaka yang menjemput kami untuk bersama-sama di AEON Bandaraya bagi menjayakan program ini,” kata beliau yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin pula berharap agar kerjasama yang sudah terjalin antara JAM Melaka dengan Tabung Darah Negeri Melaka akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Tambah beliau lagi, program AMBD ini sebenarnya bakal dijadikan acara tahunan sebagai bulan derma darah yang akan diuruskan oleh JAM Melaka dengan kerjasama pihak Tabung Darah Negeri Melaka.

“Semalam (di Mydin MITC-Sabtu) sambutan sangat menggalakkan sehinggakan beg yang dibawa untuk extra tu pun tak cukup lagi.

“Saya ingat dalam pukul 2.30 dah tutup dah. Dah mula kemas tutup. Menandakan sokongan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat untuk menyumbang dan menyertai program derma darah ini.

“Saya difahamkan hari ni (Ahad) pihak Hospital dan Tabung Darah Melaka memang dah standby lebih extra (beg darah) untuk hari ini,” ujar beliau.

Beliau juga melahirkan rasa syukur atas sambutan yang sangat baik untuk program semalam di samping tapak program derma darah yang lebih luas disediakan oleh pihak AEON Bandaraya Melaka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program ini di AEON Bandaraya Melaka semalam.

Antara perkara menarik yang terakam semasa program ini berlangsung ialah bagaimana seorang warga Malaysia yang berbangsa Cina telah menjadi tarikan kerana sudah menderma darah sebanyak 86 kali termasuk di dalam program AMBD di AEON Bandaraya Melaka ini semalam.

Lim Kim Seng, 45, yang berasal dari Banda Kaba mengungkapkan, beliau sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti menderma darah tiga hingga empat bulan sekali.

“Saya mula menderma darah sejak usia 18 tahun dan saya rasa gembira apabila berjaya mendermakan darah.

“Hal ini bermakna saya seorang yang sihat tubuh badan malah seseorang mungkin dapat sembuh dengan darah yang saya sumbangkan,” ujar beliau semasa ditemubual.

Tambah beliau, semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, beliau jarang menderma di hospital kerana situasi yang sesak di hospital.

Oleh itu, beliau lebih gemar untuk menyertai aktiviti derma darah yang dianjurkan di luar kawasan hospital seperti program AMBD ini.

Turut hadir memberi sokongan kepada program ini ialah Pengerusi Khidmat Malaysia Melaka yang juga Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, Muhamat Puhat Bedol, Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, Pengarah MusMedik Malaysia, Datin Dr. Reen Mohd. Amin dan pimpinan PAS Melaka yang lain.

Program AMBD ini merupakan program anjuran JAM Dewan Pemuda PAS Malaysia dan dijalankan serentak di seluruh negara di mana untuk negeri Melaka program ini dilangsungkan di Mydin MITC Ayer Keroh pada Sabtu dan di AEON Bandaraya Melaka pada Ahad. – HARAKAHDAILY 18/1/2021

- Advertisement -