COVID-19: Pejabat Exco Terengganu ditutup 14 hari

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Lima kes penularan COVID-19 dikesan berlaku dalam kalangan kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Wisma Darul Iman.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar mengarahkan empat pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu ditutup selama 14 hari.

“Hasil siasatan mendapati, kes-kes berkenaan bergaul rapat dengan kakitangan di pejabat berkenaan di Tingkat Enam, Wisma Darul Iman.

“Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri. Pejabat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

“Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan dan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri,” ujarnya dalam surat perintah penutupan premis bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit, semalam.

Beliau berkata, arahan penutupan itu selaras di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 198 (Akta 342).

“Saya selaku pegawai diberi kuasa dengan ini memerintahkan supaya premis-premis terbabit ditutup selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Januari 2021, bagi mengelakkan perebakan penyakit berjangkit,” jelasnya.

Difahamkan antara pejabat Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang terlibat iaitu Ustaz Satiful Bahri Mamat, Dr Alias Razak, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Dr Azman Ibrahim.

Sehari sebelumnya, empat Exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikuarantin di rumah masing-masing kerana menjadi salah seorang kontak rapat individu yang disahkan positif COVID-19.

Menurut sumber, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, jumlah kes keseluruhan di negeri ini pada 17 Januari sebanyak 885 kes, manakala kes baharu sebanyak 22 kes, yang sedang dirawat 378 kes dengan dua kes kematian. – HARAKAHDAILY 18/1/2021

- Advertisement -