Bantulah rakyat, tak usahlah berpolitik sangat

- Advertisement -

BARU sebentar tadi Perdana Menteri (PM) telah mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat ketika negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.

PM berkata pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkan sejumlah RM15 bilion, antara lain mempunyai 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Justeru, marilah kita bersama-sama berganding bahu, bersama-sama PM untuk menjayakan semua itu, tidak lain, demi rakyat tercinta. Kalau boleh, kita tidak mahu lihat lagi, gelagat orang mabuk dan gila kuasa, walaupun sukar untuk dihentikan. 

- Advertisement -

Dahulu, sebelum darurat diisytiharkan, saban hari kedengaran, ‘saya ada nombor’, untuk menjatuhkan PM (PN) sedia ada. Negara tidak pernah aman dibuatnya. Kini, bila darurat diisytiharkan oleh YDPA, sibuk pula minta YPDA tarik balik perisytiharan Darurat itu. Sampai bila? 

Seronok sangatkah menunjukkan kepada dunia kesemua lawak jenaka ini? Jelas sekali, puak-puak ini tidak boleh sama sekali dilantik atau diberikan peluang untuk memimpin negara. Punah ranah dibuatnya. 

Saya ingin mencadangkan beberapa perkara;

Pertama, kalau dah tidak ada apa perkara yang nak dibuat, asyik desak, ugut, desak, ugut, eloklah balik ke kawasan DUN dan Parlimen masing-masing untuk membantu rakyat yang memerlukan. Inilah masa untuk mendekati mereka, yang selama ini kita hantar wakil sahaja untuk menyantuni mereka.

Kedua, pergi terangkan kepada rakyat di kawasan masing-masing pakej PERMAI tersebut, mengikut SOP Darurat. Pastikan mereka dapat segala bantuan yang disediakan kerajaan. Jika ada yang tidak faham, fahamkan. Jika ada yang tidak pandai cara-cara mendapatkan bantuan tersebut, pandaikan. 

Ketiga, kepada rakyat jelata yang ada wakil ADUN dan wakil Parlimen mereka, inilah masanya untuk menilai prestasi pemimpin kawasan anda. Sama ada mereka ini benar-benar pemimpin atau hanya pemimpin hipokrit. If you don’t walk the walk, it’s probably best not to talk the talk

Jika mereka benar-benar pemimpin, pasti di saat susah ini mereka bersama anda. Jika bayang pun tak nampak, tolaklah mereka ini, jika masih bertanding dalam PRU15.

Keempat, kepada semua wakil rakyat. Masa depan YB sudah terjamin. Pencen dapat walaupun berkhidmat selama satu penggal. Ini tidak termasuk banyak penggal dan berjawatan. Peruntukan YB semua banyak. 

Gunakan peruntukan yang ada untuk memberi semangat anak-anak muda melalui NGO mereka ada untuk bergerak membantu rakyat memerlukan. Contoh, tiga orang anak saya yang bukan pemimpin pun, atas dasar perikemanusiaan, melalui NGO, Youth Care Malaysia (YCM), bersama rakan-rakan pimpinan mereka, menjelajah, merentas negeri, membantu mereka yang memerlukan ketika Darurat dan PKP. 

Sebagai bapa, saya pun jadi risau, maklum saja ketika wabak sedang aktif. Ini pun baru saja mereka balik rumah. Bukan nak menunjukkan, tetapi nak bagi setahu semangat mereka. Bantulah anak-anak muda. Jangan asyik berpolitik. Jangan kita dimalukan oleh anak-anak muda. 

Akhirnya, hentikanlah kerja-kerja untuk mendesak YDPA untuk menarik balik perisytiharan Darurat tersebut. YDPA telah membuat keputusan. Lagipun kumpulan ultra kiasu telah pun membawa dan mencabar perisytiharan Darurat tersebut ke mahkamah, maka tunggulah mahkamah membuat keputusan. Takkan masih tidak sabar. Bukankah negara kita mengamalkan sistem demokrasi.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 18/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -