Apa makna darurat?

- Advertisement -

BUAT penganut Islam, al-Quran adalah petunjuk Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah ikutan yang dijadikan teladan dan contoh yang mengajar manusia serta memandu akal dalam mentaati Allah SWT dalam urusan agama dan dunia. Maka janganlah terpengaruh dengan manusia yang sesat bertuhankan akal semata-mata. Walaupun akal itu juga adalah kurniaan Allah SWT, namun berpandukan akal sahaja tidak memadai.

Darurat mengikut bahasa al-Quran ialah perkara yang membinasakan atau menyebabkan masyaqqah (kesulitan) bagi memelihara perkara yang dinamakan ‘dharuriyyat’ yang wajib dipelihara demi menjaga maslahah yang wajib, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, nasab (keturunan atau zuriat), maruah diri dan harta. Perkara ini menjadi rukun kehidupan bagi diri manusia mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, Tuhan pencipta alam dan inilah juga tertibnya.

- Advertisement -

Allah SWT mengajar konsep darurat dalam perkara yang menjadi rukun kehidupan. Bahkan Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah SAW akan ayat-ayat al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia secara fitrah tanpa mengira agama. Namun, Islam menetapkan ajaran dan pendekatannya berulang kali melalui firman Allah SWT, antaranya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ١٧٢ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ  فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ  إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ١٧٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kalian daripada rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian (halal) dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (172); Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagi kalian bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebutkan (nama) selain Allah. Tetapi sesiapa dalam keadaan darurat (terpaksa memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak berdosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (173).” (Surah al-Baqarah: 172-173)

Walaupun perintah Allah SWT secara tegas mewajibkan makan daripada sumber yang halal, tiba-tiba berlaku darurat dan tiada makanan yang halal. Maka Islam mengizinkan makan makanan yang haram dengan kadar yang sepatutnya. Ini disebabkan oleh darurat dan makanan menjadi sangat penting untuk menjaga nyawa.

Para ulama’ fiqh hukum Islam telah menetapkan satu kaedah yang terkenal:

الضرورات تبيح المحظورات.

“Keadaan darurat mengharuskan (dihalalkan) perkara yang haram.”

Seterusnya ditetapkan bahagian yang kedua dengan kaedah berikut:

الضرورة تقدر بقدرها.

“Darurat itu ditetapkan kadarnya (dihadkan batas sempadan) mengikut keperluannya.”

Berlaku satu peristiwa yang melibatkan rombongan para sahabat RA yang bermusafir dan salah seorang dalam kalangan mereka telah mengalami kecederaan di kepala sehingga berdarah. Lalu sahabat tersebut bertanya tentang rukhsah baginya untuk bertayammum, kemudian mereka menetapkan mesti menggunakan air untuk berwuduk atau mandi dan membasuh.

Oleh kerana dalam kalangan mereka ada yang tegas melampau sehingga lupa akan kemudahan yang telah diizinkan oleh Allah SWT, melalui konsep yang umum sebagaimana firman-Nya:

﴿لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا…٢٨٦﴾

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” (Surah al-Baqarah: 286)

Dan ayat-ayat lain juga membawa maksud yang sama berulang kali dalam al-Quran dan terdapat rukhsah (kemudahan) dengan bertayamum dan sebagainya.

Akan tetapi mereka tidak mempedulikan darurat dan rukhsah, sehingga sahabat yang cedera itu meninggal dunia. Apabila mereka melaporkan perkara yang berlaku itu kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda:

قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ -أَوْ يَعْصِبَ شَكَّ مُوسَى- عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً، ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ.

“Seperti mereka membunuhnya, Allah melaknat mereka (kerana melakukan perkara itu), adakah mereka tidak bertanyakan hukumnya apabila mereka jahil, sesungguhnya ubat bagi penyakit jahil itu ialah bertanya, padahal cukup baginya bertayammum (dengan tanah), membalut tempat yang luka, kemudian sapu sahaja atas balutan itu dan basuh atau mandi ditempat yang tidak luka.” (Riwayat Abu Dawud 336)

Imam al-Bukhari RHM, Imam Muslim RHM dan para ulama’ yang lain meriwayatkan satu hadis:

قَدِمَ أَعْرَابٌ مِنْ عُرَيْنَةَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَسْلَمُوا فَاجْتَوَوُا الْمَدِينَةَ حَتَّى اصْفَرَّتْ أَلْوَانُهُمْ وَعَظُمَتْ بُطُونُهُمْ فَبَعَثَ بِهِمْ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى لِقَاحٍ لَهُ فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا حَتَّى صَحُّوا.

Apabila datang satu rombongan kaum Badawi (penduduk padang pasir) daripada puak ‘Urainah kepada Nabi SAW dan memeluk Islam. Kemudian kerana disebabkan suhu Madinah, maka kulit mereka menjadi kekuningan dan kembang perut. Lalu Rasulullah SAW menghantarkan kepada mereka susu unta. Dan mengarahkan kepada mereka agar meminum air susu dan air kencing, sehingga mereka sembuh.” (Riwayat al-Bukhari 233, Muslim 1671, al-Tirmidhi 73, al-Nasa’i 306 dan lain-lain)

Hadis di atas menjadi dalil perubatan dengan najis dibenarkan sewaktu berada dalam keadaan darurat. Tokoh ilmu perubatan dalam Islam, Ibn Sina telah membuat kajian betapa benarnya hadis tersebut.

Para ulama’ juga membahagikan darurat kepada dua kategori iaitu; mu‘ajjal (disegerakan) dan muajjal (ditangguhkan). Lalu mereka meletakkan kaedah mengikut kadar keperluan masa dan sebagainya berdasarkan ayat yang telah disebutkan di atas. Adapun kewajipan melaksanakan darurat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu; mudoyyaq (waktu yang sempit perlu disegerakan) dan muwassa‘ (waktu yang luas boleh ditangguhkan).  

Contoh dalam perkara darurat yang tidak boleh ditangguhkan ialah bencana kebakaran yang dilaporkan kepada pihak bomba. Hanya seorang pengarah bomba yang lemah sahaja minta ditangguhkan bantuan untuk dihantar segera kerana menunggu masa bagi mengadakan mesyuarat dahulu, menentukan siapa ketua pasukan, menentukan lori yang akan digunakan dan alat yang hendak dipilih terlebih dahulu yang memerlukan masa. Sehingga menyebabkan mangsa kebakaran sudah menjadi abu.

Para ulama’ menetapkan satu kaedah yang terkenal dalam ilmu tafsir al-Quran  dan Usul Fiqh iaitu:

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب.

“Iktibar (pengajaran) itu diambil berdasarkan maksud yang umum daripada lafaz nas itu, bukan daripada sebabnya yang khusus.”

Maka di sini pula menjadi perbincangan ilmu Maqasid al-Syariah bagi tujuan dan hikmah hukum syara’, khususnya dalam menjaga maslahah dan menolak mudarat yang berkaitan dengan darurat yang telah disebutkan di atas.

Adapun tindakan kerajaan dalam menangani sesuatu keadaan yang dihadapi oleh rakyat dan langkah yang sewajarnya dinamakan dengan konsep Siyasah Syar‘iyyah yang disebutkan oleh Khalifah ‘Uthman  bin ‘Affan RA:

إِنَّ اللهَ لَيَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya Allah mengizinkan pihak yang berkuasa memerintah untuk melaksanakan apa yang tidak diperintahkan oleh al-Quran.” (Ibn al-Athir dalam al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, jld. 5, ms. 180)

Maka dalam kedaan seluruh dunia sedang menghadapi wabak COVID-19 yang sedang merebak, seluruh rakyat mesti memahami tindakan tegas  yang wajib diambil oleh pihak kerajaan hari ini.

Pada masa yang sama, pihak yang berkenaan tidak seharusnya mengumumkan berita yang menakutkan rakyat sehingga rmereka menjadi panik. Ini disebabkan, bukan semua orang boleh menanggung berita yang menakutkan, walaupun berita tersebut adalah benar apatah lagi berita bohong.

Maka kerajaan wajib bertindak dengan tindakan yang tegas mengikut lunas undang-undang darurat terhadap sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita bohong dalam kalangan masyarakat yang gelisah dengan pelbagai bencana yang berlaku.

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Jumadal Akhirah 1442 / 18 Januari 2021 – HARAKAHDAILY 18/1/2021

- Advertisement -