Kerajaan Pusat perlu laksana cuti iddah bergaji

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan telah menunjukkan satu model yang baik melalui sistem sokongan memberi cuti sebulan dengan insentif gaji sebulan kepada isteri yang baharu kematian suami.

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berharap suatu hari nanti cuti iddah bagi isteri yang bekerja dengan insentif sebulan gaji dapat dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Advertisement

Menurut beliau, sebenarnya cuti iddah itu sangat penting bagi seorang isteri yang kematian suami sebab itu Islam meletakkan iddah kepada isteri (balu).

“Sebenarnya saya telah sebut berkenaan cuti iddah ini di pihak kementerian supaya dikaji semula. Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan cuti iddah untuk isteri kematian suami selama 3 hari iaitu cuti wajib dan bergaji.

“Manakala 27 hari lagi sebagai tambahan cuti tanpa gaji, tetapi Kerajaan Negeri Kelantan telah membayar insentif khas dengan amaun sama dengan gaji yang diterima selama 27 hari,” katanya.

Cuti sebulan dengan insentif tersebut itu kata beliau bertujuan memulihkan emosi isteri yang baharu kehilangan suami, emosi anak-anak dan untuk menguruskan harta pusaka dan sebagainya.

Beliau berkata, cuti iddah itu tidak terpakai kepada kematian suami yang dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah oleh pihak isteri yang menjadi kes polis.

Katanya, cuti iddah itu hanya diberikan kepada kakitangan wanita yang ingin mematuhi kehendak iddah mengikut hukum syarak, bukan mengambil kesempatan untuk bercuti atau melancong. – HARAKAHDAILY 17/1/2021