Aktiviti derma darah patuhi SOP

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Jabatan Amal Pasir Puteh dengan kerjasama Pasaraya Econsave, Masjid Ibrahim dan Hospital Tengku Anis (HTA) mengadakan program menderma darah bagi membantu bekalan darah yang diperlukan pesakit.

- Advertisement -

Komandan Jabatan Amal Pasir Puteh, Tuan Mohd. Shahril Tuan Noor berkata, program yang diadakan semalam di Masjid Ibrahimi dan di pasaraya Econsave berjaya menggamit kehadiran penderma dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di Masjid Ibrahimi kita menerima kehadiran lebih 20 penderma dan di Econsave 50 penderma tampil beramal demi keperluan pesakit yang memerlukan bekalan darah.

“Pihak penganjur amat berbesar hati terhadap pengorbanan penderma yang prihatin terhadap keperluan darah sekalipun perlu berwaspada dengan kekangan COVID-19,” katanya ketika ditemui di pasaraya Econsave di sini semalam.

Program yang sama turut dilaksanakan di seluruh negara dan di Kelantan melibatkan lapan lokasi. Di Pasir Puteh, program menderma darah diketuai Dr Noor Hasmiza Wahab.

Tuan Mohd Shahril berkata, program seumpama itu akan diteruskan beberapa siri sepanjang tahun ini termasuk pada bulan Ramadan dengan melibatkan ahli jemaah masjid.

Ketua bahagian (grocery) pasaraya itu, Ariff zakaria berkata, pelanggan yang datang membeli belah tidak ketinggalan menjayakan program yang diadakan setiap tahun.

Katanya, ia adalah program amal membantu pihak hospital mendapat bekalan darah menerusi kempen Setitik Darah Sejuta Penghargaan.

“Kami hanya menyediakan tempat yang selesa kepada penderma darah dan menjalankan kempen kepada semua pelanggan sebelum program ini dilaksanakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/1/2021

- Advertisement -