Sebahagian mahasiswa keliru hingga tolak darurat

Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi, Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (USM), Universiti Sains Malaysia.
- Advertisement -

KENYATAAN persetujuan bersama yang dijelaskan oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Demokrat Universiti Malaya, Gerakan Pembebasan Akademik (GPA), Harmoni Malaysia, Angkatan Mahasiswa UM dan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) pada 15 Januari 2021 mempertikaikan sokongan 222 pemegang PhD terhadap darurat menampakkan kekeliruan mereka terhadap istilah kerajaan dan parti politik.

Raphael (1976) dalam karyanya bertajuk Problems of Political Philosophy menjelaskan politik adalah tindakan rakyat untuk mempengaruhi kerajaan ke arah kebaikan. Tergambar sebagai ahli politik ialah yang mempengaruhi kerajaan ke arah positif. Dari hal ini, K. Ramanathan dalam buku Asas Sains Politik membawa pandangan bahawa kerajaan dan politik tidak dapat dipisahkan. Jika ada rakyat akan ada pula yang memerintah. Dari sini munculnya pemerintah yang bertujuan membentuk kerajaan.

- Advertisement -

Persoalannya, siapa kerajaan di Malaysia?
Merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Malaysia (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka maksud kerajaan bagi Malaysia ialah negara yang diketuai oleh Raja. Kerajaan adalah berbeza dengan parti politik. Parti politik bermaksud sebuah badan atau institusi yang digunakan oleh para pengundi untuk mempengaruhi corak dasar awam.

Mahasiswa-mahasiswa yang mengkritik 222 pemegang PhD ini masih keliru. Keliru dengan maksud kerajaan dan parti politik atau sengaja terkeliru kerana terpengaruh dengan ahli politik di luar yang menganggap bahawa darurat ini adalah darurat politik. Sangat tidak bijak alasan kritikan terhadap sokongan 222 pemegang PhD terhadap darurat kerana gila jawatan dan pangkat. Saya penuh yakin bahawa sokongan mereka terhadap darurat tidak ada apa-apa political interest atau apa-apa manfaat peribadi. Sebaliknya ahli politik di luar yang mempengaruhi minda mahasiswa ini lebih tepat jika dikatakan mempunyai political interest kerana saban hari muncul dalam berita dengan tindakan luar jangka seolah sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan.

Saya kata begini kerana telah banyak penjelasan yang diberikan mengenai darurat untuk menangani Covid-19, namun mahasiswa-mahasiswa ini masih keliru dan buat-buat tak faham. Saya juga yakin pengaruh ahli politik penentang kerajaan sangat kuat mempengaruhi minda mereka. Mereka lantang menentang kerajaan seolah-olah ingin menampakkan mereka natural dari politik, namun sebaliknya kita dapati kebanyakkan pandangan mereka sangat dekat dengan ahli politik penentang kerajaan.

Jika mereka mengkritik 222 pemegang PhD sahaja tanpa mengkritik Majlis Profesor Negara (MPN), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan banyak persatuan lain yang turut menyokong darurat ini, maka saya melihat ada sesuatu di belakang mereka yang mempengaruhi untuk mereka lakukan tindakan sebegini.

Kepada mahasiswa-mahasiswa ini, darurat yang diwartakan sepatutnya lebih menyedarkan kalian bahawa kerajaan sekarang secara total di bawah YDPA. Apa sahaja keputusan kerajaan di bawah darurat adalah keputusan YDPA bukan lagi di bawah TSMY. Kabinet kerajaan dalam kuasa eksekutif adalah di bawah arahan YDPA. Hati-hati kerana kritikan terhadap darurat bermakna kritikan terhadap YDPA. Saya nasihatkan kepada mahasiswa-mahasiswa ini, lupakan sekejap kebebasan bersuara di bawah demokrasi. Cuba belajar menerima daripada menolak.

DR. MOHD SYAKIR MOHD ROSDI
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam,
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (USM), Universiti Sains Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/1/2021

- Advertisement -