Perang menentang keganasan: Senjata makan tuan

Gambar sekadar hiasan. - Foto AFP
- Advertisement -

WAR on Terrorism atau Perang Menentang Keganasan adalah kempen yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Dunia Islam akibat daripada peristiwa serangan ke atas New York, Amerika Syarikat pada tanggal 9/11 yang telah mengubah landskap politik antarabangsa.

Sejurus selepas tragedi tersebut, George W. Bush Presiden Amerika Syarikat ketika itu menuduh Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda yang diketuainya bertanggungjawab di atas serangan tersebut. Akibatnya, Amerika Syarikat dan sekutunya menyasarkan tuduhan dan kemudiannya serangan terhadap Al-Qaeda, kumpulan-kumpulan jihadis dan negara-negara yang menyokongnya.

- Advertisement -

Amerika Syarikat tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak, selepas sebulan kejadian 9/11, dilancarkan perang ke atas Afghanistan yang menjadi negara persembunyian Osama bin Laden dengan perlindungan dari Taliban yang memerintah pada ketika itu.

Akhirnya ibu kota Afghanistan, Kabul jatuh ke tangan Amerika Syarikat. Ianya begitu mudah sekali memandangkan Taliban memerintah di negara antara yang paling miskin dan terkebelakang di dunia dalam pelbagai sudut berbanding dengan kekuatan Amerika Syarikat yang merupakan negara yang terkuat di dunia dari sudut ketenteraan, ekonomi dan teknologi.

Namun begitu, Taliban terus menghantui Amerika Syarikat hingga ke hari ini walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeeda dihancurkan. Ia menjadi perang paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat dan hari ini Amerika Syarikat sedang berusaha untuk berunding dengan Taliban sebagai strategi jalan keluar dari Afghanistan dan peperangan di negara tersebut.

Setelah itu, Iraq pula diserang dengan alasan kononnya Osama bin Laden mempunyai hubungan dengan Saddam Hussein yang mampu mengancam keselamatan Amerika Syarikat dan akhirnya ia terbukti dakwaan tersebut adalah salah dan bohong sama sekali.

Namun apakan daya, arang sudah menjadi abu. Iraq hancur dalam kempen serangan yang bermula pada 21 Mac 2003 sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa dan sehingga ke hari ini, Iraq masih lagi bergelut dengan konflik berdarah yang tidak berkesudahan.

Akibat daripada kesemua peperangan yang telah berlaku, landskap geopolitik dunia telah berubah. Perang menentang keganasan akhirnya bertukar menjadi perang menentang Islam kerana Osama bin Laden adalah seorang Muslim. Adakah ianya berlaku dengan sengaja atau tidak, masing-masing mempunyai jawapannya tersendiri.

Apa yang pasti, kesemua peristiwa tersebut menyebabkan bermulanya kebencian terhadap Islam di mana kemuncaknya lahirlah fenomena Islamofobia yang melanda masyarakat dunia di mana Islam dituduh menjadi punca kepada keganasan.

Ini terbukti daripada kenyataan mahupun komentar pemimpin-pemimpin barat sama ada dari golongan ahli politik, ekonomi mahupun ahli agama serta golongan-golongan lain yang berpengaruh dalam masyarakat Barat yang turut menyerang Islam bertubi-tubi.

Antaranya ialah kenyataan Pope Benedict ke-16 yang menuduh Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam dengan pedang. Begitu juga karikutur-karikutur oleh kartunis Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengambarkan baginda sebagai seorang pengganas.

Ditambah lagi kenyataan-kenyataan dari pemimpin-pemimpin politik Barat yang bersikap prejudis terhadap Islam seperti sikap Donald Trump dan Emmanuel Macron yang berterusan mengaitkan keganasan dengan Islam mahupun memberikan gambaran umat Islam sememangnya pengganas.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara-negara Barat yang kononnya menjadi mangsa kepada pengganas yang anti kepada kebebasan dan demokrasi bahkan ianya turut merebak ke seluruh pelusuk dunia termasuk Dunia Islam sendiri.

Maka di atas slogan perang menentang keganasan, Israel menjadikannya sebagai alasan untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam seperti HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Tidak cukup dengan itu, Iran, Iraq, Syria dan Libya turut menjadi mangsa akibat daripada propaganda licik ini.

Begitu juga dengan negara-negara Arab yang diperintah secara diktator, pemimpinnya mengambil peluang ini untuk mengharam dan menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam sederhana yang mengambil pendekatan demokrasi pilihan raya seperti gerakan Ikhwan Muslimin Mesir.

Apa yang lebih menyedihkan, terdapat tindakan melampaui batas oleh sesetengah negara-negara Islam yang tidak membenarkan pengajaran mahupun penerbitan ayat-ayat Al-Quran yang berkait dengan peperangan dan kejahatan Yahudi diajar kepada generasi muda Islam dengan alasan ia boleh merosak pemikiran mereka dan menggalakkan mereka untuk menjadi pengganas.

Tidak terkecuali bagi umat Islam di Amerika Syarikat, mereka secara langsung merasai kesan akibat daripada kempen ini. Mereka dipantau baik dari segi pergerakan mahupun komunikasi, racial profiling dan terpinggir dari masyarakat umum akibat daripada tempias usaha Amerika Syarikat menghapuskan pengganas yang 100 peratus ditujukan kepada umat Islam.

Akibat dari kempen jahat ini, ratusan ribu nyawa umat Islam yang tidak berdosa dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan peristiwa 9/11 terkorban, cedera, dipenjara dan hilang tempat tinggal. Akibat dari kempen jahat ini juga negara-negara yang menyokong keganasan bermaharajalela melakukan keganasan di atas alasan menentang keganasan.

Persoalannya, adakah umat Islam sahaja yang dilabel sebagai pengganas ? Bagaimana pula keadaannya dengan pengganas dari kalangan penganut agama Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain lagi yang melakukan keganasan ke atas umat Islam ?

Adakah pertubuhan-pertubuhan kecil sahaja yang dilabel sebagai pengganas sedangkan negara-negara yang melakukan keganasan dan menyokong keganasan dibiarkan bebas bermaharajalela seperti negara haram Israel.

Saat ini, bukan sahaja terdapat negara atau pertubuhan-pertubuhan sahaja yang melakukan keganasan, malah syarikat-syarikat yang didefinasikan sebagai syarikat keselamatan turut terbabit dalam keganasan seperti membekalkan tentera upahan untuk terbabit dalam peperangan di sesebuah negara.

Ketika ini, nama seperti Wagner Group yang membekalkan tentera upahan di Libya dan Blackwater Worldwide Group, sebuah kumpulan keselamatan yang membekalkan tentera upahan di seluruh dunia menjadi topik utama kerana tindak-tanduk melampau mereka yang sememangnya disifatkan sebagai pengganas hingga mengakibatkan kematian orang awam di negara yang mereka beroperasi.

Jika dikaji semula, hari ini sepatutnya Islam dan umatnya bukan lagi menjadi topik utama sebagai pengganas tetapi sebetulnya menjadi mangsa kepada keganasan akibat sifat tamak dan ingin berkuasa negara-negara, individu, kumpulan mahupun syarikat-syarikat yang ingin merompak hasil mahsul umat dan Dunia Islam.

Demokrasi dan keganasan : Amerika Syarikat di ambang kehancuran

Perang menentang keganasan yang menjadi agenda pentadbiran Amerika Syarikat tanpa mengira dari parti mana sekali pun yang memerintah akhirnya memakan diri sendiri apabila berlakunya insiden-insiden keganasan yang sudah tidak dapat dibendung di Amerika Syarikat sendiri.

Akhbar-akhbar dan portal media di Amerika Syarikat menggelarkan insiden-insiden keganasan tersebut sebagai ancaman domestic terrorism yang sangat bahaya kepada demokrasi Amerika Syarikat yang menjadi ikutan majoriti negara-negara di dunia.

Insiden terbaharu di mana penyokong Donald Trump menyerbu Capitol Hill ketika Dewan Kongres dan Senat sedang bersidang untuk mengesahkan keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat telah mengejutkan dunia.

Beberapa akhbar utama Amerika Syarikat dan Britain memberi amaran semenjak daripada peristiwa tersebut bahawa Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan krisis sangat serius yang boleh membawa kepada malapetaka yang besar.

Namun sebenarnya semuanya jelas kelihatan sebelum bermulanya pilihan raya Presiden Amerika Syarikat. Malah boleh dikatakan semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, kehangatan politik dalaman Amerika Syarikat menjadi parah dan sudah menampakkan kepada dunia bahawa sebenarnya Amerika Syarikat sendiri tidak stabil dan kucar-kacir.

The Washington Post dalam laporannya pada 7 November 2020 menyebut bahawa Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan situasi politik dalaman yang paling sukar dalam sejarah modennya kerana seorang presiden yang menyebarkan penipuan dan menuduh penipuan dalam pilihan raya dengan asas-asas yang tidak kukuh.

Akhbar The Times dari Britain pula pada awal November 2020 meramalkan minggu-minggu akan datang adalah ujian besar kepada politik Amerika Syarikat kerana keputusan akhir pilihan raya Presiden hanya akan diumumkan oleh badan yang mengurus pilihan raya pada 14 Disember 2020.

Dalam tempoh tersebut, bermacam kemungkinan boleh berlaku khususnya tindakan-tindakan ‘gila’ yang mungkin dilakukan oleh Donald Trump sama ada dalam konteks politik dalaman mahu pun antarabangsa dalam usaha untuk mempertahankan kuasanya.

Akhirnya terbukti benar telahan banyak pihak, ketika Dewan Kongres dan Senat sedang bersidang untuk mengesahkan keputusan pilihan raya Presiden, Donald Trump menganjurkan perhimpunan besar berdekatan Capitol Hill mempengaruhi ribuan penyokongnya untuk menyerbu kedua-dua dewan tersebut.

Bersama bekas Datuk Bandar New York Rudy Giuliani, anaknya Donald Trump Jr dan beberapa anggota Senat dari parti Republikan, Donald Trump dan sekutunya mempengaruhi penyokongnya dengan penipuan dan pembohongan tentang korupsi pilihan raya yang tidak wujud yang mengakibatkan ribuan penyokongnya merusuh dan merempuh Capitol Hill.

Insiden tersebut telah menyebabkan 5 orang terbunuh termasuk seorang anggota polis yang mempertahankan Capitol Hill dari diceroboh. Insiden tersebut juga mendedahkan kepada dunia bahawa terdapat banyak kumpulan pelampau yang boleh dikategorikan sebagai pengganas di Amerika Syarikat.

Salah satunya ialah Proud Boys, kumpulan berhaluan kanan terbesar yang menjadi penyokong kuat kepada Donald Trump. Kumpulan ini yang berideologikan White Supremacy turut dikategorikan sebagai berbahaya kerana ramai ahlinya dilengkapi senjata separa automatik dan turut terlibat dalam banyak insiden keganasan di serata Amerika Syarikat.

Malah sehari sebelum insiden berdarah di Capitol Hill, pemimpin Proud Boys Enrique Torres telah ditahan oleh FBI. Beberapa hari selepas insiden tersebut, pemimpin Proud Boys Hawaii Nicholas Ochs juga telah ditahan oleh FBI. Hingga saat ini, sudah berpuluh penyokong Donald Trump dari pelbagai kumpulan berhaluan kanan telah ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Video insiden tersebut telah tersebar luas di serata dunia. Kumpulan-kumpulan pengganas tersebut membawa senjata, memukul anggota polis dan pihak keselamatan malah turut menduduki bangunan Capitol Hill beberapa jam sebelum diambil alih oleh pihak keselamatan.

Selain bersenjata, beberapa bom turut dijumpai oleh FBI terutamanya di pejabat Republican National Committee (RNC) dan Democratic National Committee (DNC) yang terletak di Capitol Hill. Bukan itu sahaja, setelah diperiksa di kawasan sekitar terdapat banyak bom buatan sendiri dan molotov cocktail dijumpai.

Saat ini beberapa hari sebelum Joe Biden ditabalkan sebagai Presiden Amerika Syarikat, laporan beberapa agensi perisikan Amerika Syarikat menyatakan bahawa telah terdapat perancangan oleh beberapa kumpulan berhaluan kanan untuk mencetuskan kekacauan dan rusuhan ketika berlangsungnya upacara tersebut.

Beberapa hari setelah insiden di Capitol Hill, Washington DC telah diisytiharkan sebagai kawasan darurat sehingga ke hari pertabalan Joe Biden untuk mengelakkan insiden yang lebih buruk berlaku. Malah di kawasan sekitar Capitol Hill ketika ini terdapat ribuan anggota keselamatan termasuk tentera, polis dan pelbagai agensi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Apa yang boleh disimpulkan, Amerika Syarikat sebenarnya gagal menangani keganasan, malah menyuburkan keganasan di tanahnya sendiri. Kelihatan ketika ini, keganasan di Amerika Syarikat lebih buruk dari apa yang ditakrifkan oleh Amerika Syarikat ke atas negara yang dianggap melindungi pengganas malah dikategorikan sebagai pengganas.

Kegagalan Amerika Syarikat sebenarnya jelas menggambarkan ia tidak tahu apa itu keganasan. Malah dalam kempen memerangi keganasan di seluruh dunia, jutaan umat Islam tidak berdosa terkorban, jutaan menjadi pelarian, kehancuran sebuah negara dari segi infrastruktur, ekonomi dan sosial.

Libya, Iraq, Afghanistan dan Syria adalah contoh jelas kehancuran sebuah negara akibat kempen memerangi keganasan, Kashmir, Rohingya, Uighur dan Bosnia adalah takrifan jelas apakah itu keganasan terhadap sesuatu bangsa kerana anutan agamanya.

Itu semua negara Islam dan umat Islam. Jika dimasukkan Palestin, ternyata sebenarnya barat tidak tahu langsung apa itu makna keganasan kerana bagi mereka ia hanya pembersihan untuk kelangsungan demokrasi dan ketuanan mereka.

Jadi siapakah sebenarnya pengganas? Jawapan yang paling tepat, umat dan Dunia Islam sebenarnya adalah mangsa keganasan dan kerana mahu melindungi keganasan, Barat mempropagandakan bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas. Malangnya, terdapat umat dan Dunia Islam bersekongkol dengan Barat untuk menghalalkan cita-cita mereka.

Saat ini adalah masanya untuk umat dan Dunia Islam memperbetulkan keadaan serta menguatkan lagi perpaduan demi untuk kelangsungan survival Islam. Sampai bilakah kita mahu diperdaya dan dimainkan? Sebelum terlambat, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, kerana hanya Islam mampu menyatukan umat dan Dunia Islam.

Semoga Allah SWT melindungi dan memberikan kekuatan kepada umat dan Dunia Islam.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 16/1/2021

- Advertisement -