Inspirasi semangat petugas barisan hadapan

Foto Solahuddin Al-Idrus
- Advertisement -

KLANG: Petugas barisan hadapan atau dikenali frontliner tetap komited melaksanakan tugas mereka yang sentiasa berisiko terdedah kepada jangkitan Covid-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dijalankan di beberapa negeri bermula 13 hingga 26 Januari.

Klang antara daerah sibuk yang terletak di Negeri Selangor tertakluk di bawah pengawasan PKP.

Selain Selangor, tujuh lagi negeri turut berada di bawah pengawasan sama iaitu Pulau Pinang, Johor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Melaka.

- Advertisement -

Manakala pada hari ini (16 Januari) PKP berkuat kuasa di Negeri Kelantan sehingga 29 Januari depan.

Setakat ini di daerah Klang, terdapat empat jalan ditutup dan tiga sekatan jalan raya dilakukan sepanjang PKP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Tinjauan Harakahdaily pada hari kedua PKP, mendapati bahawa penutupan jalan itu melibatkan Jambatan Musaeddin (Jalan Batu Tiga Lama), Jambatan Raja Nala (Jalan Tanjung Syawal), Kilometer 3.5 Jalan Shapadu Lama dan KM 3.7 Jalan Shapadu Lama ke Rantau Panjang.

Jalan alternatif yang menghubungkan ke lebuh raya Persekutuan agak lengang ketika waktu puncak. – Foto Srihayanis Abasri.

Setelah mendapat maklum balas daripada orang ramai, mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk mereka bergerak dari satu tempat ke tempat destinasinya.

Oleh itu, bagi Jalan Batu Tiga Lama, orang ramai perlu menggunakan laluan alternatif iaitu di Jalan Pos Baru, Bulatan Kota, Jambatan Kota, Tengku Kelana dan Kampung Jawa.

Manakala, bagi orang ramai yang sering menggunakan laluan di Jambatan Raja Nala pula perlu melalui laluan alternatif di Jalan Goh Hock Huat, Jalan Mantin, Bulatan Kota, Jambatan Kota dan Bukit Tinggi.

Apa yang diperhatikan di sini, jalannya agak lengang sekali apabila sudah masuk waktu puncak yang selama ini agak sibuk di jalan raya ini yang boleh menghubungkan ke lebuh raya Persekutuan.

Tinjauan Harakahdaily pada kali ini, ingin menemubual bersama beberapa frontliner yang sangat berjasa kepada rakyat dan sanggup mengorbankan diri mereka demi melaksanakan tugasan mereka yang hakiki.

Jururawat berdaftar di hospital swasta, Nurul Adhuna Niza, 25 (gambar dalam slide), berpengalaman bahawa kesan pandemik Covid-19 ini benar-benar memberikan kelainan yang ketara terhadap dirinya.

“Peraturan hospital yang banyak berubah seperti jumlah pelawat yang dibenarkan, etika pemakaian topeng muka yang diwajibkan bagi setiap orang dan penjarakan sosial yang harus dijaga setiap masa. Ada antara peraturan baru yang memudahkan dan ada juga yang mengganggu rutin tugas yang terpaksa diubah.

“Pesakit yang mempunyai gejala ini hanya akan dirujuk ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan apabila mendapati keputusan tindak balas rantai polimerase (PCR) atau kinematik masa nyata (RTK) pesakit adalah positif, mereka akan dirawat dan dikuarantin di suatu wad khas di sini dengan memakai peralatan pelindung diri (PPE) seperti pesakit yang positif Covid-19,” ujarnya.

Perkhidmatan penghantaran makanan terhad bilangannya untuk berada di kawasan McDonalds, Klang, (Gambar diambil pada Khamis). – Foto Srihayanis Abasri

Tambahan pula, ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga sehinggalah keputusan PCR keluar. Sekiranya positif, pesakit akan dihantar ke hospital kerajaan untuk rawatan lanjut. Kos ujian swab Covid-19 di hospital swasta anggaran antara RM199 hingga RM450.

“Pesakit yang dirawat di hospital swasta tidak terhad kepada kakitangan dan pelajar sahaja malah ia terbuka kepada umum. Oleh itu, kami sudah menerima ramai pesakit awam yang lain di sini.

“Pada pemerhatian saya, bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital swasta ini berkurang semasa PKP dilaksanakan. Jika tiada PKP, jumlah pesakit adalah sama seperti sebelum tersebarnya Covid-19.

“Bagi saya, sekiranya vaksin Pfizer yang diterima adalah terhad jumlahnya, sebaiknya golongan berisiko tinggi didahulukan.

“Jadi, saya berharap agar setiap lapisan rakyat dapat mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP 2.0 yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kita hanya perlu bersabar untuk beberapa waktu demi kesejahteraan yang berpanjangan. Insya Allah,” katanya.

Tinjauan Harakahdaily membawa ke kawasan perkarangan sekolah yang berdekatan dengan kawasan perumahan di sini. Mohd Khairi, 55 (gambar dalam slide), bertugas sebagai pengawal keselamatan berpengalaman selama lima tahun.

Terdahulunya, beliau bertugas di SMK Rantau Panjang dan kini di SMK Bandar Baru Sultan Suleiman. Beliau menetap di Rantau Panjang, Klang dan terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuhraya Shapadu untuk menembus masuk ke tempat kerjanya.

Beliau tidak mengeluh, malah ikhlas demi mencari rezeki yang halal. Namun begitu, beliau juga setuju dan menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP demi keselamatan rakyat.

“Pelajar lebih baik berehat dahulu di rumah demi keselamatan bersama sampailah keadaan betul-betul reda. Jadi, pandangan saya tentang PKP ini adalah satu langkah yang terbaik untuk mengurangkan masalah kes baharu yang kian meningkat.

“Kita tidak tahu keadaan esok lusa, bagaimana? Kalau dapat dikurangkan kes ini, Alhamdulillah. Lega kami semua,” katanya sambil menceritakan ada segelintir guru yang sanggup hadir ke sekolah tersebut atas urusan yang perlu diselesaikan.

Seterusnya, tinjauan membawa ke suatu tempat yang terdahulunya ramai anak muda rider Foodpanda akan berkumpul di restoran McDonald’s untuk menghantar makanan yang dipesan oleh pelanggan melalui telefon pintar.

Rider Foodpanda yang hanya mahu dikenali Omar, 31 (gambar dalam slide), baru sahaja mendapat makanan yang dipesan dan mahu bergegas pergi sempat ditemubual Harakahdaily.

“Ya, kali ini lebih banyak pesanan yang dikirim oleh pelanggan. Berkemungkinan, kawasan Klang ini banyak ditutup oleh polis, jadi mereka tidak berani untuk keluar semata-mata mendapatkan makanan segera.

“Lagi pula, kerajaan sudah tetapkan bahawa makanan hanya dibolehkan untuk mengambil pesan sahaja dan pelanggan tidak berpeluang untuk menikmati makanan yang dipesan di dalam restoran atau mana-mana kedai.

Katanya, perkhidmatan ini sangat membantu untuk anak muda seperti beliau kerana adakalanya rakyat yang hilang pekerjaan dapat menjana pendapatan melalui perkhidmatan sebagai rider.

Rider memang berisiko. Bukan hanya saya tetapi semua pengguna di jalan raya ini. Jadi, kita kena berhati-hati semasa memandu, jangan terlalu kejar dengan pesanan yang diterima. Biar lambat, asal selamat. Saya jamin, pelanggan pasti sabar menanti pesanan yang mereka kirim.

“Sebelum PKP semua rider penghantar makanan boleh memasuki perkarangan McDonald’s ini, tetapi sekarang terhad kerana mengikut SOP. SOP itu bagus, saya sokong. Oleh sebab itu, dengan adanya SOP yang ketat, kita dapat mengurangkan virus ini,” katanya.

Sehubungan itu, kita semuanya adalah frontliner yang dapat membantu mereka memutuskan rantaian Covid-19 ini. Jangan pernah putus semangat walaupun kita dikhabarkan kes meningkat hingga keempat angka.

SOP yang penting sangat berkesan jika kita amalkan dan beringat selalu. Pembelian panik haruslah kita elakkan kerana ramai lagi pengguna yang sangat memerlukan barang-barangan keperluan itu.

Justeru, kerajaan juga mengharapkan agar kita sama-sama sabar menjaga diri hingga ke penamatnya. Bak kata pepatah, bara yang digenggam biar sampai jadi arang. – HARAKAHDAILY 16/1/2021

- Advertisement -