Teruskan santuni rakyat dalam kesusahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua wakil rakyat dan ahli PAS digesa terus bekerja menyantuni dan membantu rakyat yang dalam kesusahan walaupun dalam tempoh darurat.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, ramai rakyat di bawah yang berada dalam kesusahan berikutan pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP- Bersyarat dan PKP- Pemulihan serta yang ditimpa musibah banjir di beberapa negeri.

- Advertisement -

“Walaupun darurat, semua ahli PAS terutama wakil rakyat mesti terus bekerja untuk santuni rakyat. Bantu mereka ditimpa musibah banjir sama ada tenaga atau wang.

“Santuni orang susah di tempat masing-masing. Biar kita yang ziarah mereka, jangan biarkan mereka mencari kita. Ini sudah menyusahkan mereka. Kerana mereka terpaksa meninggalkan urusan harian mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Menurut Idris, semua ahli PAS, Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa Kampung mesti menjadi pelapor kepada pihak berkuasa mengenai masalah yang berkaitan rakyat untuk diambil tindakan.

“Permudahkan urusan rakyat yang memerlukan bantuan yang disediakan oleh kerajaan seperti cara mengisi borang dalam talian

“Manakala, bagi kawasan yang tidak ada wakil rakyat, diharap pusat khidmat PAS Kawasan mesti diaktifkan,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan darurat bukan penghalang untuk terus bekerja dan berbakti kepada rakyat, namun perlu penjagaan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Beliau turut memetik sabdaan Nabi SAW yang bermaksud; “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Dan siapa yang memberi kelapangan akan saudaranya, maka Allah akan melapangkannya“. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -