Proklamasi darurat bertepatan Perlembagaan Persekutuan

Dr Kamaruzaman Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat yang dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sama sekali tidak bertentangan dengan prinsip demokrasi negara, malahan perkara itu jelas termaktub di dalam Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusof berkata, cadangan permohonan darurat yang dibuat Muhyiddin kepada Agong bukanlah percubaan yang pertama dilakukannya serta bukan jalan singkat untuk mengelakkan pilihan raya umum (PRU) diadakan.

“Jadi maknanya kuasa yang disebut dalam perlembagaan itu adalah kuasa mutlak Agong bagi meluluskan pengisytiharan seperti yang dicatatkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Maknanya apabila keputusan itu telah dibuat oleh Agong dan diisytiharkan mengikut lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang maknanya apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada kepimpinan negara ataupun ahli-ahli akademik ataupun sesiapa sahaja yang mempertikaikan keputusan tersebut, mereka bukan mempertikaikan cadangan yang dibuat oleh Muhyiddin, tetapi boleh dianggap dan boleh didakwa mempertikaikan keputusan dan pengisytiharan yang dibuat oleh Agong,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily semalam.

Beliau berkata, kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh dipolitikkan kerana kedudukan Baginda sebagai Ketua Negara dipilih melalui konsensus Majlis Raja-raja Melayu bukannya mandat rakyat, malah telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sepatutnya hal-hal yang berkait dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemimpin utama di dalam sistem demokrasi berparlimen di negara kita ini tidak dipolitikkan kerana kedudukan Agong melebihi daripada kepimpinan politik.

“Dan daripada awal dulu pun institusi Raja-raja Melayu itu diwujudkan dengan tujuan mengawasi kepentingan rakyat, mengawal selia supaya pihak kepimpinan politik ini tidak keluar daripada tugas dan tanggungjawab mereka kerana mereka ini dipilih oleh rakyat sedangkan proses pemilihan Agong bukan melalui rakyat tetapi melalui konsensus Majlis Raja-raja Melayu.

Dalam pada itu beliau berkata pengisytiharan darurat ini juga bagi mengingatkan para pemimpin negara agar fokus kepada isu rakyat yang semakin mencengkam dan menghentikan segala desakan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

“Ianya juga untuk mengelakkan daripada pemimpin-pemimpin politik terus bercakaran lalu menyebabkan ketidakstabilan politik seperti yang dititahkan oleh Baginda di dalam ucapan perasmian Parlimen yang terakhir pada baru-baru ini.

“Titahnya jelas menyebutkan supaya dihindarkan daripada sebarang bentuk usaha yang dianggap boleh mewujudkan ketidakstabilan politik.

“Jadi, Agong pun dah bertitah supaya gencatan politik itu dilakukan tetapi nampaknya ada pihak-pihak dalam kalangan komponen kerajaan ataupun pembangkang masih lagi menggunakan platform politik untuk menimbulkan ketidakstabilan dari segi pemerintahan dan pentadbiran yang berjalan pada masa ini,” ujarnya lagi.

Ujarnya, sedangkan apa yang diperlukan rakyat adalah kelangsungan untuk terus hidup terutamanya mereka yang terjejas akibat bencana banjir besar dan pelbagai masalah di dalam institusi kekeluargaan.

“Darurat politik ini juga untuk mengelakkan daripada para ahli politik ini memainkan isu dan memanaskan keadaan yang akhirnya memberikan kesan kepada rakyat sedangkan fokus rakyat pada masa ini ialah mereka hendak makan, mereka memerlukan wang untuk hidup.

“Ada di antara mereka menghadapi ujian banjir dan banyak lagi masalah sampingan yang berlaku di dalam keluarga yang mungkin kebanyakan daripada kita tidak tahu.

“Mereka terpaksa pindah rumah, bergaduh suami isteri lalu anak-anak terkesan, masalah psikologi, masalah pendidikan yang menghalang mereka daripada ke sekolah dan sebagainya.

“Jadi ini semua seharusnya menjadi perkara utama yang diberi keutamaan oleh kerajaan bukannya sibuk dengan nak menyediakan akuan bersumpah (SD) dan nak menyalahkan antara satu sama lain, saya rasa itu bukanlah masa yang sesuai untuk dilihat kepada perkara-perkara tersebut,” ujar beliau lagi.

Kamaruzaman berkata, apa yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah baik dan tepat pada masanya bagi memastikan kestabilan politik dan keamanan negara dapat diteruskan dengan misi dan visi yang sama iaitu memutuskan penularan wabak COVID-19.

“Saya yakin selepas ini pihak kerajaan yang ada tidak ada pilihan kecuali mengadakan PRU untuk mengembalikan dan mendapatkan semula mandat rakyat dan memimpin negara dengan mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditentukan seperti mana yang dijanjikan Muhyiddin dalam ucapannya pada Selasa.

Sementara itu, Kamaruzaman menyifatkan darurat yang diisytiharkan hanya melibatkan politik negara dan kesihatan rakyat awam secara khususnya, manakala aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa dan tiada sebarang rampasan kuasa oleh tentera.

“Memang tidak dapat dinafikan sebelum daripada ini pun, sebagai contohnya para pelabur yang ingin menjalankan pelaburan di Malaysia tidak dapat dilakukan dan ianya tidak ada kaitan dengan darurat ini.

“Ia berkait rapat dengan peraturan yang dibuat oleh kerajaan kita iaitu menghadkan pergerakan daripada luar negara daripada masuk ke dalam negara.

“Jadi itu bukan menjadi satu masalah, bukan sahaja negara kita tetapi kebanyakan negara dunia tidak mahu mengambil risiko kesan daripada pandemik COVID-19 ini.

“Kita yakin selepas daripada ini selepas wabak COVID-19 itu tak ada, keadaan rakyat seluruh dunia pun sudah kembali pulih, selepas ini akan berlakulah lonjakan dari segi ekonomi, kehadiran para pelabur daripada luar dan ia akan membantu semula dalam meningkatkan pendapatan negara dan sebagainya,” kata Kamaruzaman.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -