Kecelaruan identiti: Kebebasan yang menjadi maksiat

- Advertisement -

SEINGAT saya, dulu sangat susah untuk berjumpa dengan lelaki yang suka dan berani mahu memakai gaun, skirt, tudung atau baju kurung. Kali pertama melihat, beristighfar panjang juga saya. Tapi lama kelamaan kumpulan ini semakin mempengaruhi ramai anak-anak muda. 

Sehinggakan, mahasiswa lelaki jurusan agama pun ada yang bersolek tebal sebelum pergi ke kelas. Betapa kuatnya arus kebebasan fahaman Barat yang masuk ke dalam negara kita.

Hari ini, mereka tidak lagi takut-takut mahu menyorok identiti lelaki yang ditukar kepada perwatakan wanita. Bahkan, ada pula yang sampai mempersoalkan apakah mereka tidak berhak bahagia dengan menjadi diri sendiri.

- Advertisement -

Sahabat-sahabat, marilah kita bertakwa kepada Allah. Hidup kita di dunia ini, bukan semata-mata mahu memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apatah lagi mahu memikirkan bahagia sendiri tanpa mempedulikan arahan dan larangan Allah. 

Sifat takwa petunjuknya adalah al-Quran. Rujuklah al-Quran untuk mengetahui naluri kalian itu adalah kebenaran ataupun ujian. 

Jika kalian mencari kebebasan untuk melakukan maksiat, maaf, tiada hak itu untuk dituntut di negara ini. Semua maksiat adalah dosa dan akan ada balasannya di akhirat kelak. Kecuali jika kita bertaubat, dan taubat itu diterima oleh Allah yang Maha Menerima Taubat. 

Nasihat dan kata-kata yang baik sangat diperlukan bagi mereka yang mahu keluar daripada ujian. JAKIM misalnya, ada menyediakan banyak sistem sokongan untuk membantu sahabat-sahabat yang bergelut dengan kecelaruan identiti.

Namun, jika maksiat itu mahu dilakukan secara terbuka dan mengajak-ajak pula orang lain untuk tidak takut melakukan hal yang serupa, menjadi tanggungjawab kita menghalang dengan mengguna pakai saluran Undang-undang Syariah yang ada. 

Seperti mana yang dikupas oleh HAMKA dalam tafsirnya, sifat takwa juga menuntut seorang Muslim itu untuk jujur mengaku salah, dan bersedia menerima hukuman. 

Maka, jujurlah dengan diri, untuk menerima al-Quran sebagai sebenar-benar petunjuk, bukan dalam hal-hal ibadah yang mudah dan kita suka lakukan, tetapi juga dalam perkara-perkara yang dibenci hati. 

Pada waktu ini, sudah ada beberapa negeri yang sedang membuat semakan untuk memperkukuh lagi Enakmen Jenayah Syariah pada masa akan datang. InsyaAllah, kita akan usahakan satu demi satu, dengan segenap kemahuan politik yang kita ada. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita semua.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 15/1/2021